KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan semua peralatan biometrik bernilai RM10.3 juta yang digunakan dalam Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).
Pengerusi PAC Datuk Sri Hasan Arifin berkata KDN perlu membuat laporan polis jika gagal mengesan peralatan biometrik serta jalankan siasatan terperinci serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab.
“Kementerian dan Jabatan Imigresen Malaysia dipohon menjalankan program transformasi secara menyeluruh terhadap sistem operasi dan pengurusan KDN supaya tahap perkhidmatan dan urus tadbir dapat dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2015 Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Mei 2016, menyatakan myIMMs dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurut laporan itu, kemudahan biometrik myIMMs bernilai RM10.3 juta dibekalkan dan dibayar, tetapi tidak dipasang dan diguna pakai di pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan juga rakyat Malaysia.
Sebaliknya kemudahan biometrik yang dipasang dan diguna pakai adalah National Enforcement And Registration Biometric System (NERS) yang dibangunkan di bawah perjanjian konsesi bernilai RM912 juta bagi tempoh 12 tahun.
Hasan berkata wajar supaya kaedah perolehan kontrak diperhalusi dengan lebih mendalam supaya kontraktor dilantik mempunyai kesungguhan dan berupaya menjalankan kerja kontrak.
“KDN perlu jalankan kerja pemantauan lebih terperinci supaya projek berkenaan disiapkan secepat mungkin. Denda lewat harus dikenakan kepada kontraktor mengikut syarat kontrak,” katanya.
Bagaimanapun, PAC dalam rumusan berpuas hati dengan penjelasan diberikan KDN dan jabatan imigresen.
“Bagaimanapun PAC menyeru KDN dan jabatan imigresen supaya dapat membangunkan dan mengintegrasikan sistem lebih bersepadu demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kira-kira 100 pegawai imigresen yang terdiri daripada pegawai pertengahan dan kakitangan sokongan disiasat kerana disyaki terlibat mensabotaj myIMMs.
Risikan PDRM mendapati sindiket berkenaan menjalankan aktiviti mensabotaj sistem itu kira-kira 6 bulan hingga 2 tahun dengan membocorkan data termasuk menggunakan nombor kod tertentu untuk disalah guna.