Pegawai rendah polis dah ambil alih negara, sindir Dr M

mahathir-polis

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyindir kesukaran mengadakan acara debat dengan Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, selepas permohonan permit penganjuran kali ke-2 dibatalkan polis.

Dalam blognya hari ini, bekas perdana menteri berkata kerajaan, para menteri dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “amat demokratik dan mahu memberikan kebebasan sepenuhnya” tetapi “polis ganggu”.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata keputusan membatalkan permit debat di Kuala Kangsar dan Shah Alam dibuat sepenuhnya oleh oleh Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat dan Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan tanpa campur tangan politik.

“Sesungguhnya pegawai rendah polis sudah ambil alih negara ini…Jahat sungguhlah polis.

“Sekarang ketua polis negara sendiri terpaksa ikut kehendak pegawai di bawahnya,” kata Dr Mahathir.

Mahathir berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 10 Mac pernah berkata debat itu tiada kaitan dengan polis, sementara Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed pada 18 Mac berkata pihaknya akan membenarkan debat berlangsung.

“Saya kecewa kerana untuk wacana ‘Nothing to Hide’ dahulu pun polis buat kacau,” katanya, merujuk kepada acara dialog Mac 2015 yang sepatutnya dihadiri Najib tetapi dibatalkan atas sebab keselamatan.

Debat antara Dr Mahathir dan Nazri pada mulanya dijadualkan berlangsung pada 25 Mac di Kuala Kangsar tetapi ditolak kerana permohonan penganjur tidak menepati Akta Perhimpunan Aman.

Permit debat diluluskan untuk diadakan pada 7 April di Shah Alam, tetapi dibatalkan selepas mendapat bantahan penduduk.