Penyerang di Parlimen patut dipenjara, kata Khalid

khalid-samad-attackKUALA LUMPUR: Khalid Samad hari ini mendesak speaker Dewan Rakyat mengenakan pertuduhan lebih berat terhadap mereka yang didakwa merusuh dalam kawasan Parlimen tahun lalu, dan berkata kesalahan itu boleh dijatuhi hukuman penjara 7 tahun jika sabit kesalahan.

Pengarah strategik Amanah itu berkata demikian selepas dilaporkan 8 lelaki yang menyerangnya pada November lalu hanya didakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil, di mana jika sabit kesalahan, mereka hanya didenda maksimum RM100.

Ahli Parlimen Amanah itu berkata 8 lelaki terbabit sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang diluluskan di Parlimen bagi melindungi ahli Parlimen.

Jika didapati bersalah di bawah seksyen itu, boleh dipenjarakan maksimum 7 tahun jika sabit kesalahan.

“Jangan hina Parlimen sebegini, anda (peguam negara) buat Parlimen nampak tak penting,” katanya kepada wartawan pada satu sidang media.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata jika jabatan peguam negara kekal dengan keputusan mendakwa 8 individu itu di bawah Akta Kesalahan Kecil, maka speaker Dewan Rakyat patut memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka.

Katanya, ini kerana insiden itu berlaku di kawasan Parlimen dan oleh itu speaker boleh mengambil prosiding undang-undang atas kapasitinya sebagai speaker.

“Itu bermakna jika jabatan peguam negara masih hendak dakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil, Tan Sri (Pandikar Amin) sebagai speaker Dewan Rakyat ada hak ambil tindakan undang-undang,” katanya dan menambah beliau sudah menghantar surat berhubung perkara itu kepada speaker hari ini.

Katanya, beliau menunggu jawapan daripada speaker.

Pada 24 November, sekumpulan lelaki menyerang Khalid, menjerit “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak!”.

Insiden itu menjadi semakin teruk apabila salah seorang daripada mereka jatuh ketika bergelut dengan pengawal keselamatan.

Kumpulan itu mengejar Khalid tetapi pengawal keselamatan berjaya melindunginya daripada dicederakan.

Semalam, 8 individu itu mohon dibicarakan terhadap pertuduhan ke atas mereka di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, kerana memprovokasi keamanan.

Semua individu terbabit, termasuk 2 dipercayai anak lelaki Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajudin Abdul Rahman – di mana Khalid dan Tajudin sebelum itu bertikam lidah di Dewan Rakyat pada November – membayar ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.