Takkanlah kami nak tumbuk Khalid Samad, kata anak Tajuddin

dr-faizal

PETALING JAYA: Mereka cuma mahu mendengar penjelasan daripada orang yang memanggil bapa mereka “sial”, kata Dr Faizal menjelaskan kehadiran beliau, ahli keluarga lain dan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman di Parlimen 24 November lepas.

Beliau menafikan tujuan mereka ke situ untuk mengasari Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

“Sekiranya kami ingin membuat apa-apa yang berniat jahat sudah tentu kami tidak pilih kawasan Parlimen…itu tindakan bodoh.

“Takkan kami nak tumbuk dia (Khalid) dalam Parlimen dengan keadaan semua polis dan media ada di situ,” katanya pada sidang media hari ini.

Menjelaskan kekacauan tempoh hari, Dr Faizal berkata keadaan menjadi hilang kawalan akibat cara pengawal keselamatan melindungi Khalid pada masa itu.

Malah, rombongan mereka pada hari itu tidak dirancang secara rapi kerana mereka cuma mahu “bersemuka dengan cara baik”.

“Salah seorang penyokong telah ditolak sehingga jatuh. Ini menyebabkan keadaan semakin tegang dan mendatangkan kemarahan penyokong.

“Sekiranya kita diberi peluang untuk bersemuka dengan Khalid saya jamin tidak akan berlaku kekecohan,” tambahnya.

Dr Faizal juga menafikan rombongan mereka diarah bapanya. “Kalau ayah saya rancang bukan setakat 20-30 orang hadir tapi lebih.”

“Kami datang kerana ingin beri sokongan moral kerana Khalid sebut ahli Parlimen Pasir Salak ‘sial’. Ini bermakna semua pengundi di sana sial (kerana) dia bukan kata ‘Tajuddin’ sial.

“Kami datang ke Parlimen kerana rasa terhina,” katanya.

Dr Faizal bersama adiknya, Firdaus, bersama para penyokong yang terbabit dalam kejadian di Parlimen 24 November lepas mengadakan sidang akhbar hari ini untuk mendengarkan cerita pihak mereka kepada media.

Dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki mengganggu Khalid sambil melaungkan “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak!”.

Insiden bertukar teruk apabila salah seorang daripada mereka terjatuh ketika berdepan pihak keselamatan.

Mereka kemudian mengejar Khalid tetapi pihak keselamatan berjaya melindungi beliau daripada mereka.

Khalid berkata mereka sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 7 tahun bagi kesalahan menyerang seorang ahli Parlimen.

Dr Faizal bersama 7 individu lain mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkelakuan aib di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100 jika disabitkan kesalahan.