176,105 dapat kerja melalui JobsMalaysia tahun lepas

job-malaysiaKUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu seramai 176,105 pencari kerja tempatan berjaya mendapat kerja melalui platform portal JobsMalaysia sehingga Disember lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata daripada jumlah itu, sebanyak 47,698 orang terdiri daripada siswazah dan 128,407 bukan siswazah.

“Untuk makluman Dewan yang mulia, sejumlah 876,142 peluang pekerjaan didaftarkan melalui portal JobsMalaysia sehingga Disember lepas,” katanya menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) mengenai tindakan kementerian untuk membantu pengilang perabot yang menghadapi masalah kekurangan pekerja yang sangat serius.

Jelasnya, kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja sentiasa bersedia membantu majikan yang mempunyai masalah kekurangan pekerja termasuk industri perabot, antaranya menyediakan platform pengiklanan kekosongan jawatan dan pemadanan pencarian kerja melalui portal JobsMalaysia serta khidmat nasihat.