2 sahabat hilang di Jakarta, keluarga rayu bantuan

Kamarol-Arifin-Mohamad-Darus_hilang

KUALA LANGAT: Keluarga 2 rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di Jakarta, Indonesia pada 30 Mac lepas merayu supaya pihak berkuasa kedua-dua negara memulakan usaha mengesan mereka secepat mungkin.

Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27, dan Mohd Shafa Ahmad, 29, dilaporkan dilihat kali terakhir ketika berlepas ke Jakarta menaiki pesawat AirAsia jam 2 petang, 30 Mac lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang.

Hamidah Kordi, 65, ibu kepada Kamarol berkata sebelum ini anaknya tidak pernah gagal memaklumkan keluarga di mana dia berada, oleh itu beliau amat risau sekiranya mereka berdepan “perkara buruk”.

“Sepatutnya anak saya dan kawannya balik (dari Jakarta) Ahad malam tapi tak balik-balik… hati risau, mana tahu mereka ditimpa kesusahan sebab tak pernah macam ni (tidak memaklumkan tempat dituju),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Hamidah berkata sebelum ke Jakarta untuk menonton konsert, Kamarol dan rakannya itu amat ceria dan dilihat tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kaki buat pertama kali ke Indonesia.

Kamarol, seorang penghantar surat dan rakannya, Shafa juruteknik di Klang merancang ke Jakarta bersama 6 rakan lain namun kedua-dua mereka terpaksa berlepas melalui penerbangan 2 jam lebih awal daripada kumpulan itu kerana tiket habis semasa tempahan dibuat Februari lepas.

Bagaimanapun, kumpulan 6 rakan itu dilaporkan gagal mengesan Kamarol dan Shafa sepanjang berada di Jakarta setelah kedua-dua mereka turut gagal mendaftar di hotel tempat mereka menginap.

Sementara itu, kakak Shafa, Darwina Ahmad, 32, berkata kedua-dua keluarga membuat laporan polis, Wisma Putra dan Jabatan Imigresen pada Isnin lepas apabila mereka gagal pulang ke tanah air seperti dijadualkan.

Katanya, adik lelakinya itu berpengalaman ke luar negara termasuk atas urusan kerja dan sepatutnya tidak menghadapi masalah berkunjung ke negara jiran kali ini.

“Laporan sudah dibuat dan jika mereka tidak dapat dikesan juga, kami bercadang ke Jakarta bagi mencari mereka berdua ,” katanya.