Amanah: Pengasingan jantina boleh, tetapi bukan diskriminasi

mujahid-yusof_bilik_hosital_600

PETALING JAYA: Pengasingan jantina yang dilaksanakan di sebuah hospital tidak penting, melainkan jika wujud diskriminasi antara jantina, kata naib presiden Amanah.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata demikian susulan pengasingan jantina di bilik menunggu di luar Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital awam di Ampang, yang sudah dimansuhkan.

Mujahid berkata, pengasingan itu dilakukan mungkin kerana orang ramai lebih selesa dengannya.

“Ia bukan masalah besar. Saya tidak fikir ia satu isu melainkan pengasingan dilakukan untuk tujuan diskriminasi atau membawa kepada diskriminasi.

“Kita ada pengangkutan awam dan perkhidmatan perkongsian kenderaan hanya untuk wanita demi keselamatan dan keselesaan mereka. Adakah itu salah?”

KTM Komuter mempunyai gerabak khas untuk wanita dan perkhidmatan perkongsian kenderaan “Riding Pink” yang khas untuk penumpang wanita.

Setiausaha Agung Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Dr Azlan Helmy Abd Samat turut sependapat dengan Mujahid.

Beliau berkata, pengasingan demi keselamatan boleh menjadi perkara baik, terutama jika ICU di hospital Ampang itu terasing.

“Tetapi jika biliknya terbuka dan boleh dilihat, dan keselamatan bukan satu kebimbangan, maka lebih baik untuk keluarga pesakit duduk bersama.”

Katanya, beliau percaya hospital memperkenalkan dasar pengasingan jantina sebagai respons kepada kejadian atau permintaan tertentu serta untuk keselamatan dan keselesaan.

Beliau berkata, mungkin pihak hospital mahu mengelakkan gangguan atau kehilangan harta benda.

“Tetapi, ia bukannya satu dasar wajib. Hospital biasanya mahu memberi sebanyak mungkin keselesaan kepada saudara seperti yang mereka lakukan kepada pesakit.”

Kementerian Kesihatan memberitahu FMT pengasingan jantina bukan satu dasar.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/04/tiada-lagi-pengasingan-jantina-bilik-menunggu-di-hospital-ampang/