Bekas exco Puteri Umno kini ketuai wanita PPBM

rina-harun_ppbm_600

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini melantik bekas exco Puteri Umno, Rina Mohd Harun, sebagai ketua sayap wanitanya, Srikandi.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yasssin turut mengumumkan Shamsilah Siru sebagai timbalan Rina, di samping mengumumkan seramai 20 ahli jawatankuasa pusat dan 7 ketua penaja negeri bagi sayap wanita parti itu.

Menurut Muhyiddin, perlantikan berkenaan merupakan langkah yang penting dalam usaha memantapkan PPBM.

“Kita mengiktiraf kepentingan wanita dalam PPBM untuk berjuang bersama barisan kepimpinan yang lain dengan satu agenda untuk menyelamatkan Malaysia,” kata Muhyiddin.

Beliau berharap pemimpin wanita PPBM dapat menarik sokongan rakyat dan menambah bilangan ahli parti sejak ia ditubuhkan 7 bulan lalu.

Rina yang merupakan bekas ketua Puteri Umno Sepang, berkata antara cabaran pihaknya adalah menambah keahlian wanita.

“Kita mahu ahli wanita mengajak ahli keluarga lain bersama-sama menyokong PPBM,” katanya.

Sebelum ini, isu mengenai ketua sayap Srikandi PPBM kecoh seketika apabila ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Anina Saadudin, mendakwa beliau disingkirkan daripada jawatan itu.

Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamarudin Md Nor bagaimanapun berkata Anina tidak “dipecat” daripada jawatan itu kerana parti itu tidak pernah melantik Anina mengetuai sayap wanita secara rasmi.

Tanpa sayap wanita, PPBM tiada peluang menang, kata Anina