Biarkan kami di sini, sekolah Rohingya rayu Azmin

azmin-sekolah-pengetuaSERI KEMBANGAN: Sebuah sekolah untuk kanak-kanak pelarian Rohingya merayu kepada kerajaan negeri Selangor supaya tidak memindahkan mereka di sini, selepas pentadbiran Datuk Seri Azmin Ali membatalkan notis merobohkan sekolah berkenaan Isnin lalu.

Pengetua Knowledge Garden Learning Centre School (KGLCS) di Taman Sri Serdang, Mohd Rafique Khairul Bashar, berkata kebanyakan kanak-kanak Rohingya yang belajar di sekolah itu sudah selesa dengan kemudahan yang ada dan bimbang kerajaan negeri akan memindahkan mereka.

Sekolah yang diasaskan Rafique pada 2013, yang juga seorang pelarian Rohingya yang tiba di Malaysia lebih 2 dekad lalu, kini mempunyai pelbagai kemudahan untuk lebih 50 murid darjah 1 hingga 6, dan dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 3.30 petang.

Rafique berkata, kebanyakan mereka dari kawasan berdekatan.

“Jika di tempat baru, kami bimbang kanak-kanak Rohingya terdedah dengan kes penculikan dan jika tempat tidak sesuai, mereka tidak gembira,” katanya kepada FMT.

Dua notis dikeluarkan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Petaling yang mengarahkan sekolah itu dikosongkan atau berisiko dirobohkan, kerana menduduki tanah kerajaan secara haram.

Bulan lalu, penguatkuasa merobohkan beberapa unit bangunan sekolah itu, termasuk kantin.

Pada Isnin, Azmin mengumumkan penarikan balik notis itu, dan berkata lokasi baharu sedang dicari untuk pusat itu.

Sekolah itu asalnya merupakan tapak sebuah sekolah memandu, yang pemiliknya memberi kebenaran untuk membina sekolah itu dengan bayaran sewa RM2,000 sebulan.

Bagaimanapun, Rafique berkata akibat kekurangan dana dan sumbangan orang ramai, beliau tidak mampu bayar lagi sewa sekolah itu.

“Saya juga bekerja tanpa gaji dan buat masa ini sekolah Rohingya mendapat bantuan daripada Tan Sri Syed Hamid Albar yang memberi bantuan dengan membina surau dan memberi bantuan peralatan sekolah untuk kanak-kanak Rohingya,” katanya merujuk bekas menteri luar dan bekas duta khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Rafique berkata pihaknya sedang berusaha mengadakan pertemuan dengan Azmin bagi merayu sekolah itu dikekalkan.

Langkah Azmin membatalkan notis perobohan dialu-alukan sebuah pertubuhan yang menumpukan usaha kebajikan terhadap minoriti Islam di rantau Asia Tenggara.

Pegawai Eksekutif Serantau Muslim, Muhamad Nazri Haris, berkata NGO itu turut berharap kerajaan Selangor tidak memindahkan sekolah itu.

“Kita akan hantar memorendum kepada Azmin atau di pejabat Menteri Bessar Selangor dalam masa terdekat ini bagi membantu isu sekolah Rohingya ini diselesaikan dengan segera,” katanya.

Pada 29 Disember lalu, Pentadbir Tanah Daerah Petaling mengeluarkan notis pengosongan bangunan yang menyatakan pemilik bangunan itu melakukan kesalahan pendudukan tidak sah di atas tanah kerajaan negeri.

Azmin: Tarik notis roboh, cari premis sesuai untuk sekolah Rohingya