Boustead runding bekal kapal tentera kepada negara serantau

BHIC

PETALING JAYA: Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC), syarikat yang terlibat dalam industri maritim, pertahanan dan kejuruteraan berat, kini berunding dengan beberapa angkatan tentera serantau bagi membekalkan kapal tentera.

Pengarah Urusannya Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor berkata minat berkenaan timbul berikutan penyertaannya dalam acara pertahanan dan keselamatan utama, seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi baru-baru ini serta Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia.

“Ia menyediakan platform untuk memasarkan produk dan perkhidmatan kami ke peringkat antarabangsa, selaras dengan hasrat kami untuk meneroka peluang perniagaan serantau,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

“Dengan rekod prestasi yang kukuh dalam menyiapkan dan memberi perkhidmatan kepada kapal tentera laut, kami meninjau untuk meneroka prospek baru untuk mengembangkan perniagaan kami di peringkat antarabangsa dan memenuhi keperluan tentera laut serantau,” katanya.

Beliau berkata syarikat menjangka prestasi tahun ini akan menggalakkan, terutamanya dengan tambahan terbaru kepada kontrak dalam tangan, iaitu 1 kontrak dengan kerajaan bernilai RM1.17 bilion untuk membina 4 unit kapal misi pesisir untuk tentera laut.

“Kami gembira dengan kepercayaan ini dan berharap dapat mengekalkan kedudukan sebagai kontraktor pertahanan utama di Malaysia,” katanya.

Ahmad Ramli berkata dengan pelan transformasi strategik yang berterusan, syarikat yakin dapat mengekalkan momentum positif dan menyampaikan keputusan yang kukuh dengan meningkatkan kecekapan operasi di samping mencatatkan prospek pertumbuhan.

Kontrak lain yang akan memacu pendapatan syarikat tahun ini termasuk kontrak sedia ada untuk membina 6 kapal tempur pesisir, serta kontrak untuk perkhidmatan kapal selam yang melibatkan kerja-kerja baik pulih, kata Ahmad Ramli.

Nilai kontrak dalam tangan syarikat berjumlah RM7.5 bilion setakat Disember tahun lepas, dengan sebahagian besar bernilai RM6.3 bilion daripada perniagaan limbungan.

Beliau berkata kontrak kerajaan terdiri 90% daripada projek dalam tangan dengan bakinya disumbangkan oleh pembeli komersial.

Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2016, BHIC mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM82 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.94 juta pada tahun kewangan 2015.

Perolehan meningkat kepada RM307.51 juta daripada RM265.64 juta sebelumnya.