Brexit tidak ganggu hubungan Malaysia-Britain, kata menteri

mustafa-brexitKUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Britain tidak terganggu selepas Brexit, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Seperti mana anda tahu, kami mempunyai beberapa syarikat Britain yang melabur di sini, termasuk Rolls Royce, yang bekerjasama dengan Kumpulan UMW untuk membuka kemudahan baharu di sini beberapa bulan lagi.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa syarikat (berpangkalan di Britain) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (mengenai kemungkinan pelaburan).

“Kami tidak nampak sebarang gangguan pelaburan atau perdagangan (dengan Britain),” katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel mengenai “Malaysia-Britain, Rakan Kongsi Dunia Selepas Brexit” di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Perdagangan Antarabangsa United Kingdom, Dr Liam Fox berkata sesetengah orang meramalkan keputusan Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) akan menyebabkan bencana ekonomi kepada negara itu.

“(Tetapi) apa yang berlaku ialah negara kami terus berkembang dengan kukuh, data pengangguran kami terus jatuh manakala data pekerjaan kini pada paras tertinggi dalam sejarah.

“Kami juga menyaksikan peningkatan keyakinan pengguna dan perbelanjaan pengguna kerana asas ekonomi kami kekal sama (selepas Brexit),” katanya.

Fox berkata jika ada sesuatu berlaku selepas Brexit ialah Britain kini menjadi tempat lebih menarik untuk pelaburan berbanding sebelum Brexit.

“Lebih menarik, sebahagian angka sementara menunjukkan pelaburan langsung asing kami tetap kukuh sejak referendum tersebut.
“Jangan baca ramalan perkara buruk akan berlaku, pergi dan lihat ekonomi sebenar kerana ia akan memberi jawapan tepat kepada apa yang sedang berlaku.

“Ada golongan yang tidak mahu Britain keluar daripada EU dan sesetengahnya tidak mahu kami berjaya dalam usaha ini (Brexit), tetapi kami berjaya kerana kami mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan kami seiring dengan globalisasi Eropah serta pelbagai peluang yang dihasilkannya,” kata Fox.