Hakim ketepi video suntingan dalam kes Ahok hina Islam

ahok

PETALING JAYA: Mahkamah Daerah Jakarta Utara memutuskan sebuah video suntingan tidak boleh diterima sebagai bukti dalam kes pendakwaan gabenor Jakarta atas kesalahan menghina Islam, semalam.

Sehubungan itu, ketua hakim Dwiarso Budi Santiarto yang dipetik Jakarta Post berkata, video itu yang dimuat naik seorang lelaki bernama Buni Yani ke Facebook, tidak boleh dimainkan dalam mana-mana perbicaraan.

“Kami memutuskan untuk tidak menggunakan video itu,” katanya pada Selasa.

Dwiarso berkata, video itu tidak boleh dikategorikan sebagai bukti dalam kes itu kerana ia tidak dirampas polis dalam proses siasatan dan sudah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Jawa Barat sebagai sebahagian kes jenayah terhadap lelaki yang memuat naik video terbabit.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Basuki Tjahaja Purnama yang lebih popular dengan panggilan Ahok berkata, adalah penting untuk mahkamah melihat video itu kerana ia adalah punca gabenor itu mula terbabit dalam kontroversi menghina Al-Quran.

Peguam Ahok, Humprey Djemat berkata, dengan menonton video itu, mahkamah boleh melihat kes itu bermula dengan video suntingan yang dimuat naik ke Facebook Buni pada 6 Oktober 2016 dengan niat untuk mencetuskan kontroversi.

Humprey merujuk cara Buni mengubah kandungan video itu dengan meletakkan teks yang menyerupai kenyataan Ahok, tetapi tidak mempunyai perkataan “pakai”.

Dalam video asal, Ahok berkata “tuan-tuan dan puan-puan…anda sudah ditipu oleh penggunaan surah Al-Maidah ayat 51 (Al-Quran)”.

Manakala dalam video suntingan itu, Buni memasukkan perkataan “tuan-tuan dan puan-puan…(pengundi Islam) sudah ditipu oleh surah Al-Maidah ayat 51”.

Pasukan pembelaan Ahok kemudiannya memutuskan untuk tidak meneruskan bantahan mereka.

Ahok didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertemu pengundi di Kepulauan Seribu dan meminta umat Islam di sana tidak terpedaya dengan pihak menggunakan surah Al-Maidah berkaitan larangan umat Islam memilih pemimpin bukan Islam.

Pada 13 Disember 2016, Ahok menafikan beliau berniat menghina Al-Quran ketika mengulas tindakan lawannya menggunakan Al-Quran dalam kempen politik, pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Gabenor Jakarta pertama yang beragama Kristian dalam tempoh 50 tahun itu berkata, komennya itu hanya ditujukan kepada ahli politik lawan yang cuba mengambil kesempatan dalam pilihan raya dengan berkata pengundi tidak sepatutnya menyokong calon bukan Islam.

Keputusan tidak rasmi pemilihan gabenor Jakarta pada 14 Februari lalu menyaksikan saingan sengit Ahok dan Anies Rasyid Baswedan yang memaksa pengundian pusingan ke-2 dijangka diadakan bulan ini.

Dalam pusingan pertama, Ahok bersama gandingannya, Djarot Saiful Hidayat mendahului dengan 42.87% undi, diikuti gandingan Anies-Sandiaga Uno dengan 39.78% undi, manakala gandingan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni sekadar meraih 17.37% undi dan mengaku kalah.

Hanya calon yang mendapat 50% undi akan diumumkan sebagai pemenang.

Mahkamah enggan gugur bicara kes gabenor hina Islam di Indonesia

Ahok menangis, nafi berniat hina Al-Quran