Ibu bapa normal tak akan terima menantu ‘perogol’

Takiyuddin-HussinKUALA LUMPUR: Tidak ada ibu bapa yang normal akan membenarkan perogol mengahwini anak mereka selepas penjenayah itu merogol mangsa, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata ibu bapa gadis berkenaan tentu tidak boleh menerima hakikat orang yang merosakkan hidup anaknya akan menjadi menantu sekali gus diterima menjadi ahli keluarga.

“Kalau ibu bapa setuju, itu terpulang kepada mereka. Kita tidak boleh larang, katakanlah ibu bapa mangsa setuju untuk anak dia dikahwinkan dengan perogol itu, ia terpulang pada mereka.

“Tetapi, saya rasa kalau perkara itu berlaku kepada anak saya sendiri, saya tidak akan izinkan. Tidak mungkin orang yang rosakkan anak kita, akan diterima,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya berkata tidak salah perempuan dikahwinkan dengan perogolnya, malah lebih baik dikahwinkan supaya tidak melalui masa depan yang gelap.

Shabudin turut dilaporkan berkata sesetengah gadis berumur 16 tahun mempunyai gaya hidup liar dan keluarga mendapati sukar mengawal mereka, tetapi dengan persetujuan wali, perempuan itu selepas berkahwin akan dijaga dengan baik oleh suami dan wali.

Kenyataan Shabudin itu turut dibantah Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang sifatkan kenyataan itu jijik.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga berkata tindakan perogol merogol anak gadis bawah umur juga tidak akan melepaskannya daripada jenayah rogol dan ia kesalahan yang serius.

“Walaupun perogol mengahwini mangsa, ia tidak melepaskan perogol daripada kesalahan rogol. Rogol adalah satu kesalahan dalam agama dan sosial.

“Bagi saya, ia (kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor) tidak seharusnya digalakkan. Kita kena ambil tindakan serius terhadap isu rogol. Malah ia tidak seharusnya menjadi topik,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/04/ahli-parlimen-umno-mungkin-masa-depan-gelap-kalau-perogol-mangsa-tak-berkahwin/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/05/rahman-kenyataan-shabudin-mengenai-perogol-kahwini-mangsa-jijik/