India berminat beli jet pejuang Malaysia, kata Najib

najib_jet_india_600

NEW DELHI: India menyatakan minat untuk membeli jet pejuang MiG-29 daripada Malaysia dengan menaik taraf pesawat itu untuk kegunaan tentera udara negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, cadangan tersebut antara aspek kerjasama ketenteraan yang dipersetujui Malaysia dan India.

Dalam hal ini, katanya, Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melihat bentuk kerjasama, termasuk pengendalian pesawat tempur Sukhoi dan peralatan ganti pesawat berkenaan.

“Ada juga kemungkinan mereka akan beli pesawat MiG-29 kita, untuk mereka pasang pulih. Sebagai timbal balas, kita menerima peralatan ganti untuk program pesawat Sukhoi kita,” katanya pada sidang media di akhir lawatan 6 hari beliau ke India yang bermula 30 Mac lalu di Chennai.

Menurut majalah penerbangan ketenteraan AirForces Monthly, TUDM pada 1995 memperoleh 18 jet pejuang MiG-29N dari Rusia dan ketika ini, terdapat 10 MiG-29N dan 2 pesawat latihan MiG-29NU dalam asetnya.

Najib berkata, lawatan ke India kali ini merupakan satu kejayaan dalam bidang pelaburan antara kedua-dua negara, di mana sebanyak 31 memorandum persefahaman (B-to-B) dimeterai dengan jumlah pelaburan AS$35.99 bilion (RM159.26 bilion).

Kerjasama yang dimeterai meliputi pembinaan pelabuhan, jalan raya, pembangunan tenaga solar, pembangunan bandar pintar, taman teknologi, pembangunan minyak sawit dan kelapa serta pendidikan tinggi.

Di samping itu, katanya, Topworth Group dan Samarth Group dari India sudah menyerahkan Surat Hasrat Melabur (LOI) untuk pelaburan berjumlah AS$380 juta (RM1.6 bilion) di Malaysia.

Syarikat Samarth yang merupakan pengeluar pelbagai produk perubatan kritikal bercadang melabur AS$80 juta (RM352 juta) di Iskandar Malaysia, Johor, manakala Topworth yang merupakan pengeluar aluminium foil untuk pembungkusan ubat dengan pelaburan berjumlah AS$300 juta (RM1.32 bilion) di Bintulu, Sarawak.

Najib berkata, Malaysia sedang berusaha mendapatkan 6 pakej pembinaan jalan raya sepanjang 3,000km di Rajashtan dengan anggaran pelaburan AS$1.5 bilion (RM6.5 bilion).

“Lawatan saya ke Jaipur menjelaskan kesungguhan Malaysia dalam projek pembinaan jalan raya di Rajashtan, di mana model yang akan dilaksanakan Malaysia bakal menjadi contoh kepada negeri bersebelahan Rajashtan,” katanya.