Isu alam sekitar tidak dapat lari daripada rasuah, kata SPRM

macc-logging

KUALA TERENGGANU: Pembentukan Kokus Perlindungan Alam Sekitar dan Antirasuah (EPACC) bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar alam sekitar adalah bagi memastikan pembangunan pesat di negara ini tidak menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berkata oleh itu sudah tiba masanya perhatian serius diberi terhadap isu penguatkuasaan yang longgar dan penyalahgunaan kuasa dalam isu alam sekitar.

“Kita lihat isu alam sekitar ini tidak dapat lari daripada rasuah, jadi perlu beri perhatian sebelum ia menjadi lebih serius pada masa akan datang.

Melalui EPACC ini, secara tidak langsung dapat memastikan mereka yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk memelihara alam sekitar ini menjalankan tugas mereka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan bersih daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan sembilan Exco Terengganu melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di sini hari ini.

Dua hari lalu, EPACC yang dipelopori SPRM turut dianggotai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar alam sekitar bertujuan untuk mengeratkan pertukaran maklumat dan memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan alam sekitar di negara ini.

Antara NGO yang terlibat ialah Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA); Rimba Research; Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA); Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Sains dan Alam Sekitar (KIAS) serta Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat maklumat yang menyatakan berlaku penerokaan tanah secara haram dan pembalakan secara haram yang bukan sahaja menjejaskan alam sekitar malah menjejaskan pendapatan kerajaan negeri.

“Ia berlaku disebabkan penguatkuasaan yang tidak telus, penguatkuasaan yang gagal disebabkan rasuah dan salah guna kuasa. Jadi penubuhan EPACC ini adalah inisiatif kita bersama NGO dan pakar alam sekitar untuk memastikan ia tidak berlaku lebih serius lagi pada masa depan,” katanya.