Malaysia bimbang resolusi EU jejaskan eksport minyak sawit

mah-siew-kong

KUALA LUMPUR: Malaysia berkata industri minyak kelapa sawit negara menghadapi “cabaran besar” selepas Parlimen Eropah dalam satu resolusi tidak terikat mengumumkan Kesatuan Eropah (EU) hanya boleh mengimport minyak sawit yang mapan alam sekitar selepas 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Mah Siew Keong berkata resolusi itu tidak adil kerana ia menyasarkan minyak kelapa sawit secara khusus tetapi tidak minyak sayuran lain.

Cadangan ini memerlukan skim pengesahan minyak sawit mapan (CSPO) tunggal bagi memastikan hanya minyak yang dihasilkan melalui kaedah alam sekitar yang mapan dan mengelakkan pembasmian hutan dieskport ke Eropah.

“Kita sangat kecewa, bagi saya resolusi itu berat sebelah dan merosakkan minyak sawit,” kata Siew Keong pada sidang media hari ini.

“Saya sudah jangka ini akan berlaku kerana seluruh dunia bercakap mengenai alam sekitar dan pembasmian hutan, cuma saya rasa tidak adil menyasarkan minyak sawit saja,” kata Siew Keong.

Menurut kenyataan Parlimen Eropah, resolusi semalam bertujuan mewujudkan piawaian EU bersama dalam usaha menghalang minyak sawit menjadi punca pembasmian hutan atau eksploitasi masyarakat di negara pengeluar, serta menghentikan penggunaan minyak sayuran yang menjejaskan alam sekitar.

Resolusi diluluskan dengan undian besar iaitu 640 menyokong, 18 menolak dan 28 lagi berkecuali, kata kenyataan itu.

EU merupakan pasaran eksport ke-2 terbesar Malaysia yang menyumbang 2,059,207 tan produk minyak sawit pada 2016, berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia. Daripada jumlah itu, 30% digunakan untuk biodiesel, kata Mah.

India merupakan pasaran minyak sawit terbesar yang mengimport 2,825,840 tan metrik dan China ke-3 terbesar yang mengimport 1,882,183 tan metrik pada 2016.

Mah berkata, beliau sudah menulis kepada Pesuruhjaya Alam Sekitar EU Karmenu Vella dan menghubungi penggubal undang-undang Eropah mengenai isu itu.

“Kita merancang akan ke Parlimen Eropah bulan depan supaya kita diberi peluang berucap kepada penggubal undang-undang mengenai mengapa resolusi ini tidak adil kepada minyak sawit,” kata Mah, sambil menambah mereka juga akan menghubungi pengimport utama lain seperti China untuk meningkatkan pengambilan minyak sawit.