Najib: Universiti awam tawar 5% tempat kepada pelajar asing

najibNEW DELHI: Kerajaan bersetuju menawarkan 5% tempat dalam kursus perubatan, pergigian dan farmasi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar asing mulai pengambilan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu dibuat selaras liberalisasi sistem pendidikan tinggi dan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan.

Menurutnya, setiap universiti awam yang menawarkan 3 kursus pengajian tersebut boleh menawarkan 5% tempat, dan pelajar luar perlu membayar yuran pengajian mengikut harga pasaran, tidak seperti pelajar tempatan yang menerima subsidi.

“Bilangan doktor di negara kita lebih daripada mencukupi. IPTA akan mendapat faedah daripada keputusan ini, termasuk interaksi pelajar kita dengan pelajar asing,” katanya pada sidang media di akhir lawatan 6 hari beliau ke India yang bermula 30 Mac lalu di Chennai.

Najib berkata, langkah ini bertujuan menggalakkan pelajar asing memilih universiti awam sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran dalam ketiga-tiga kursus itu dan pada masa sama ia dapat menambah dana atau pendapatan setiap universiti.

Perdana menteri memberitahu demikian sebagai menjelaskan isu liberasisasi sistem pendidikan yang diumumkan pada sidang media bersama rakan sejawatnya, Narendra Modi, pada Sabtu lalu yang antara lain memberi tempat kepada pelajar asing untuk mengikuti 3 kursus tersebut.

Sementara itu, ketika merasmikan Kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, Najib berkata, pembinaannya dan kemudahan yang disediakan jelas menunjukkan Malaysia bukanlah sebuah “negara gagal” seperti didakwa setengah pihak.

“Ini boleh dikatakan pejabat Kedutaaan Malaysia terbaik di luar negara setakat ini. Kerajaan beri segala kemudahan kepada pegawai dan keluarga mereka di luar negara untuk menjalankan tugas dengan baik demi kepentingan negara dan menjaga imej negara,” katanya.

Beliau memberi contoh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dipolemik dan dipolitikkan di Malaysia, sedangkan India bakal melaksanakannya pada Julai ini dengan kadar bagi 4 peringkat, iaitu antara 5 hingga 28%.

“Kita laksana secara ringan dengan ribuan pengecualian kerana kita tidak mahu bebankan rakyat.

“Modi berani buat pembaharuan demi kepentingan negara…apabila anda menguruskan negara, anda perlu berani…jangan risau kritikan,” katanya yang yakin pihak pembangkang tidak mampu mentadbir negara dengan baik jika mereka berkuasa.

“Pengalaman Modi jadi iktibar kepada kita untuk bergerak ke depan,” tambah Najib yang mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya itu di sini, Sabtu lalu.