Pakar: Militan IS Asia Tenggara dijangka berkumpul di Filipina

isis-philipines

SINGAPURA: Sidang pakar keselamatan diberitahu militan IS dalam perjalanan pulang dari Timur Tengah kerana kerugian yang dialami kumpulan itu dijangka berkumpul di selatan Filipina.

Ketidakstabilan dan keluar masuk senjata secara mudah menjadikan Mindanao dan pulau Filipina berhampiran pangkalan menarik untuk kumpulan pelampau, menurut peserta persidangan Milipol tentang keselamatan dalam negeri di Singapura semalam.

“Pada masa ini, IS cuba mewujudkan sebuah wilayah di selatan Filipina. Komunikasi terbaharu IS mengumumkan mereka secara rasmi mengisytiharkan bahagian IS Asia Timur di selatan Filipina,” kata penganalisis anti-pengganas Rohan Gunaratna pada sidang itu.

“Unjuran kami untuk 2017 adalah ancaman di rantau ini akan berkembang kerana kewujudkan nukleus IS di selatan Filipina,” kata Gunaratna.

“Ketidakstabilan di selatan Filipina dan ketersediaan senjata, perpindahan penduduk, aliran pelarian…mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pengganas asing,” katanya kepada AFP selepas berucap.

Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam pula memberitahu sidang keadaan di selatan Filipina “semakin sukar dikawal walaupun selepas usaha terbaik kerajaan Filipina.”

“Jadi itulah kawasan yang boleh berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk militan yang pulang dari Timur Tengah. Ia boleh menjadi tempat untuk bakal pengganas…tempat mereka berlatih, senjata juga mudah masuk ke situ,” tambah Shanmugam.

Sebahagian Asia Tenggara bergelut dengan gerakan militan Islam sejak sekian lama. Ratusan pelampau dari rantau itu, termasuk dari Indonesia dan Malaysia, menyertai IS di Iraq dan Syria.

Tetapi apabila IS mengalami kerugian di medan perang, pegawai kerajaan dan penganalisis bimbang mereka mahu pulang ke negara masing-masing.

Asia Tenggara mengalami serangan berkaitan IS yang pertama Januari tahun lepas apabila pelampau melancarkan serangan bunuh diri menggunakan bom dan senjata api di Jakarta.

Di Mindanao, yang sekian lama bertempur dengan pemberontak Islam, sebilangan kumpulan berikrar taat setia kepada IS.