KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang didapati bersalah mencuri telefon pintar bernilai RM800 di Plaza Low Yat, 2 tahun lalu gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan kes terhadapnya.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman berkata Mahkamah Majistret tidak silap dalam menyabitkan pertuduhan bersalah mencuri telefon terhadap Shahrul Anuar Abdul Aziz.
“Tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan.
“Oleh itu, mahkamah mendapati beliau bersalah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan bukannya pertuduhan asal iaitu Seksyen 380,” katanya.
Shahrul mulanya mengaku tidak bersalah pada 14 Julai 2015 ketika didakwa di bawah Seksyen 380 kerana mencuri telefon.
Seksyen 380 berkaitan dengan mana-mana kecurian dilakukan dalam premis bangunan.
Karim juga menolak rayuan pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara terhadap Shahrul.
“Keputusan majistret mengenakan hukuman penjara 4 bulan adalah mencukupi,” katanya.
Karim membenarkan peguam Shaharudin Ali yang mewakili Shahrul menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.
Tahun lalu, Shahrul dijatuhi hukuman penjara 4 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret kerana mencuri telefon pintar Lenovo di Plaza Low Yat.
Shahrul membayar denda RM1,000.
Pertuduhan terhadap Shahrul mendapat liputan meluas susulan ia melibatkan rusuhan kaum di luar pusat beli-belah itu apabila NGO Melayu mendakwa berlaku diskriminasi dan penipuan oleh peniaga di situ.