Shabudin melampaui batas tatasusila, kata Muhyiddin

shabudin-22PETALING JAYA : Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya mengenai perkahwinan bawah umur dan pernikahan antara perogol dan mangsa “agak melampaui batas tatasusila”.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata kenyataan itu juga boleh mengelirukan.

“Tokoh agama boleh memberikan penjelasan apakah pendirian Islam sebenar dalam soal ini.

“Itukah caranya atau adakah itu dianggap satu kenyataan yang agak bertentangan dengan undang-undang syariah dan sebagainya,” katanya pada sidang media bersama kepimpinan PPBM di Yayasan Selangor hari ini.

Semalam, Shabudin memberitahu Dewan Rakyat perkahwinan antara mangsa rogol dan perogol mungkin menjadi “ubat” kepada masalah sosial.

Beliau berkata walaupun rogol adalah jenayah, undang-undang tidak menghalang mangsa rogol perkahwinan dengan perogolnya.

Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata perbuatan rogol itu adalah perbuatan salah.

“Dan mereka yang melakukan itu sepatutnya dihadapkan (ke muka pengadilan). Kalau betul ada bukti, kemukakan ke pengadilan dan dihakimkan serta sudah tentu hukuman berat perlu dikenakan ke atas perogol ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang tidak menyokong kepimpinan tertinggi PPBM, Muhyiddin berkata mungkin kenyataan berkenaan keluar atas rasa kekecewaan mereka atau sebab lain.

“Bagi kami, kita anggap ia sebagai cabaran. Sebaik mungkin kita sedia berbincang dengan mereka untuk menjelaskan apa sebenarnya gerakan politik yang kita bawa dalam PPBM ini.

“Supaya semua pihak faham tentang matlamat bersama-sama kita menyokong agenda perjuangan kita,” katanya.