Status warganegara rakyat Malaysia sertai IS tak terbatal

jazlan-isis

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan IS tidak terbatal kewarganegaraannya, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed .

“Sebenarnya, mereka yang lahir, ibu bapa asal orang sini (Malaysia) tidak semudahnya dibatalkan kewarganegaraannya, walaupun sertai IS.

“Ia berbeza bagi mereka yang diberi kewarganegaraan oleh kerajaan, di mana kewarganegaraannya boleh dibatalkan bila-bila masa jika terlibat IS,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kewarganegaraan terbatal atau tidak jika rakyat Malaysia terlibat dengan IS.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu jawapan bertulis berkata 95 warganegara Malaysia dikesan dan dikenal pasti terlibat dengan elemen kumpulan pengganas IS di Syria dan Iraq dari 2013 hingga 8 Mac lalu.

KDN berkata daripada jumlah itu, 8 orang yang kembali ke tanah air berjaya ditangkap PDRM.

“30 orang mati manakala baki 57 lagi masih berada di kawasan bergolak,” katanya.

KDN berkata beberapa sebab mengikut perkara 24, 25 dan 26 Perlembagaan Persekutuan yang diperuntukkan membolehkan kerajaan bertindak melucutkan status warganegara rakyat Malaysia.

“Antaranya, seseorang individu itu menuntut dan menggunakan dengan sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan untuk mendapatkan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu.
“Contohnya penggunaan hak mengundi dalam mana-mana pemilihan politik di sesuatu tempat di luar Persekutuan.

“Atau memohon kepada pihak berkuasa sesuatu tempat di luar Persekutuan supaya pasport dikeluarkan atau dibaharui dan menggunakan pasport yang dikeluarkan itu sebagai dokumen perjalanan,” katanya.

KDN berkata jika rakyat Malaysia yang menjadi warganegara di bawah Perkara 16A atau Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan atau menjadi warganegara melalui naturalisasi didapati menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada kerajaan.