TV Singapura mohon maaf senda Najib di Ok Chope!

mediacorpPETALING JAYA: Saluran 5 Mediacorp hari ini memohon maaf atas penyiaran segmen komedi yang mengandungi komen mempersendakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, lapor portal berita mediacorp.sg.

Portal itu melaporkan Mediacorp, milik Temasek Holdings iaitu syarikat milik kerajaan Singapura mohon maaf atas siaran rancangan komedi Ok Chope! pada 29 Mac kerana ia menyakiti perasaan sesetengah penonton.

Adegan dalam rancangan bual bicara berkonsep jenaka santai itu memaparkan pengacara Vernetta Lopez, artis Sam See, Najip Ali, Rishi Budhrani dan Mike Kassim dilihat mempersendakan Najib.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Pelanggan Mediacorp Debra Soon dipetik sebagai berkata Saluran 5 dan pasukan penerbitan OK Chope! Dengan ikhlas memohon maaf kepada Najib atas segmen dalam episod minggu lalu.

“OK Chope! sebuah rancangan mingguan yang disiarkan secara langsung, memaparkan pelawak yang memberikan pandangan lucu tentang berita dan ehwal semasa.

“Episod minggu lalu termasuk komen yang merujuk kepada perdana menteri Malaysia yang tidak berhemah dan menyakiti perasaan. Oleh itu kami sudah menariknya daripada siaran ulangan dengan serta merta. Kami dengan ikhlas meminta maaf atas kesilapan ini,” katanya.

Artis tempatan Singapura Najip Ali yang tampil dalam rancangan itu, berkata: “Sejak beberapa hari lepas saya sudah bermuhasabah diri tentang komen yang saya keluarkan semasa segmen dalam rancangan itu yang merujuk kepada perdana menteri Malaysia. Saya sedar betapa saya tidak sensitif dan tidak berhemah.

“Saya ingin dengan ikhlas memohon maaf kepada perdana menteri Malaysia. Saya memohon maaf daripada beliau dan penonton serta rakan saya,” katanya dipetik daripada portal itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak semalam berkata kejadian itu menunjukkan media kerajaan Singapura tidak ambil peduli sensitiviti Malaysia.

“Adalah amat dikesali sesuatu seperti ini berlaku dan ia menunjukkan kekurangan sensitiviti sesetengah pihak terhadap perasaan orang lain,” katanya kepada FMT semalam.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/04/senda-najib-stesen-media-singapura-tidak-sensitif-kata-salleh-keruak/