Cendekiawan selar kenyataan Shabudin tidak selaras budaya Islam

shahbudin-kawinPETALING JAYA: Beberapa cendekiawan Islam menyelar Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya kerana kenyataan yang membayangkan perkahwinan antara perogol dan mangsa konsisten dengan budaya Islam.

Prof Rashid Moten dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata membenarkan perkahwinan seperti itu untuk menyelesaikan jenayah rogol tidak adil untuk mangsa, seolah-olah perogol diberi ganjaran atas perbuatannnya.

“Secara psikologi, mangsa akan trauma dengan apa yang berlaku.

“Bagaimana dia boleh bahagia dengan perkahwinan itu selepas dia diperlakukan demikian?” soalnya.

Beliau berkata membenarkan perkahwinan sedemikian menyinggung Islam dan mana-mana tamadun di dunia.

Rashid mengingatkan Shabudin, Islam melihat perkahwinan sebagai institusi suci.

“Keadaan fizikal serta psikologi gadis itu perlu diambil kira dalam memutuskan sama ada dia layak atau tidak untuk berkahwin,” katanya.

Selasa lalu, Shabudin di Dewan Rakyat dilaporkan berkata tidak salah mengahwinkan seorang gadis dengan perogolnya.

Beliau berkata perkahwinan antara mangsa dan perogol mungkin sesuatu yang baik supaya mereka tidak melalui masa depan yang gelap.

Beliau berkata sesetengah gadis bawah 16 tahun memiliki gaya hidup yang liar dan keluarga mendapati sukar mengawal mereka.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan semalam, Shabudin berkata, kenyataannya dipetik di luar konteks.

Shabudin hanya menekankan tidak ada peruntukan dalam undang-undang Islam yang menghalang gadis bawah umur daripada berkahwin. Beliau juga berkata gadis bawah umur tidak boleh dikahwinan oleh wali tanpa kebenaran mahkamah syariah.

Bagaimanapun, seorang lagi cendekiawan UIAM, Che Amnah Bahari berkata keadaan seperti itu juga bercanggah dengan Islam yang menyeru penganut supaya mengelakkan situasi yang boleh membawa kepada dosa.

Namun begitu, beliau akui dalam keadaan ada persetujuan antara kedua-dua pihak, perkahwinan seperti itu mungkin dibenarkan.

“Jika perogol ikhlas bertaubat dan mangsa memaafkannya dan bersetuju untuk berkahwin, itu sudah jadi cerita berbeza,” katanya.

Timbalan Presiden Ikram Malaysia Zaid Kamaruddin berkata Islam tidak pernah bertolak ansur terhadap jenayah rogol dan perogol perlu disabitkan kesalahan.

“Isu ini jelas dan perogol perlu bertanggungjawab terhadap jenayah itu. Tiada kompromi,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/05/shabudin-tak-sokong-kahwin-perogol-cuma-tolak-haramkan-kahwin-bawah-umur/