Cukai hotel baharu jejas minat pelancong, kata persatuan hotel

pelancong-taxGEORGE TOWN: Cukai hotel baharu yang dikenakan kerajaan persekutuan bakal menghalang pelancong asing tinggal lebih lama dan berbelanja lebih ketika mereka bercuti di Malaysia, kata pengerusi Persatuan Hotel Pulau Pinang.

Khoo Boo Lim berkata, persatuan itu sudah mencadangkan “bayaran perkhidmatan pelancongan” hanya dikutip sekali sahaja, bukannya berdasarkan berapa malam mereka tinggal di sesebuah hotel.

FMT melaporkan cukai untuk hotel tidak bertaraf ditetapkan pada RM2.50, manakala cukai RM5, RM10, RM15 dan RM20 masing-masing bagi hotel bertaraf 2 bintang, 3 bintang, 4 bintang dan 5 bintang.

Bayaran itu kemudiannya akan digunakan untuk promosi pelancongan.

Cukai itu ialah sebahagian daripada Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 yang diluluskan Dewan Rakyat awal pagi tadi.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee yang dipetik The Sun berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pelaksanaan cukai itu.

Sementara itu, Khoo berkata, tindakan itu akan menyebabkan pelancong memilih alternatif lain, seperti rumah inap desa dan rumah sewa jangka pendek dengan perkhidmatan dalam talian, seperti AirBnB.

Katanya, undang-undang baru itu tidak menguntungkan majoriti pengusaha hotel, sebaliknya kerajaan perlu memperkenalkan peraturan untuk mengesan dan memantau rumah inap desa serta pengusaha AirBnB.

Cukai hotel bukan perkara baru di Langkawi, Pulau Pinang dan Melaka kerana setiap negeri itu mengenakan “bayaran” berbeza untuk jumlah hari mereka tinggal di sesebuah hotel.

Pulau Pinang memperkenalkan “bayaran kerajaan tempatan” kepada pelancong yang tinggal di hotel sejak 2014, dengan RM3 untuk setiap malam bagi hotel 4 dan 5 bintang, RM2 untuk hotel 3 bintang dan tempat tinggal lain seperti asrama, hotel bajet dan rumah tumpangan.

Di Langkawi pula, surcaj RM9 setiap malam dikenakan ke atas semua hotel, manakala cukai warisan RM2 dikenakan untuk penginapan setiap malam di Melaka.

Mengenai kesan kompaun cukai hotel baharu dan “bayaran kerajaan tempatan” dikenakan Pulau Pinang, Khoo berkata, tidak banyak kesan.

“Apa yang kerajaan tempatan kutip hanya jumlah kecil, jadi walaupun mengurangkannya, ia tidak akan nampak banyak kesan berbanding kadar yang dicadangkan Cukai Pelancongan.”