Kapal China meronda di perairan Malaysia walaupun ada hubungan baik

unnamed (7)KUALA LUMPUR: Walaupun China dan Malaysia dikatakan mempunyai hubungan yang rapat, kapal pengawal pantai China mengekalkan kehadirannya di sekitar Luconia Shoals di Laut China Selatan yang dituntut Malaysia.

Ironinya, November lalu Malaysia bersetuju membeli 4 buah kapal misi pesisir dari China untuk meronda laut yang sering diceroboh kapal China.

The Guardian melaporkan dalam tempoh 2 bulan pertama 2017, 3 kapal China meronda di Luconia Shoals, 145km dari Sarawak dan lebih 1,600km dari tanah besar China.

Laporan Guardian berkata kapal tersebut dikesan Asia Maritime Transparency Initiative (Amti), sebahagian daripada Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington, dan Center of Advanced Defense Studies (C4ADS).

Kumpulan kajian yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berkata, ia rondaan biasa dan konsisten melibatkan pusingan kerja 11 kapal peronda dikesan Amti sejak lewat 2015.

The Guardian memetik kenyataan Amti dan C4ADS sebagai berkata pada Januari dan Februari tahun ini, hanya sebuah kapal Malaysia meronda kawasan itu, mendekati kapal China dalam jarak sehampir 4 batu, menunjukkan tujuannya mungkin untuk memantau kapal tersebut.

The Guardian berkata kementerian pertahanan malaysia tidak membalas permohonan untuk mendapatkan komen.

Terdapat laporan beberapa tahun kebelakangan ini mengenai kapal pengawal pantai China menceroboh perairan Malaysia di sekitar Luconia Shoals dan menghalau nelayan Malaysia.

Malaysia pernah membuat bantahan diplomatik dengan China berhubung kejadian itu.

Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalinkan hubungan lebih rapat dengan China, dan perdagangan serta perniagaan juga meningkat dengan ketara, namun pertikaian tuntutan wilayah di Laut China Selatan, termasuk Luconia Shoals dan Kepulauan Spratly, masih menjadi titik pertikaian dalam hubungan itu.

Laporan itu berkata, berikutan bantahan dari Malaysia, kapal China dikatakan ditarik balik pada akhir 2015 tetapi laporan Amti dan C4ADS menunjukkan “kapal China sudah kembali serta-merta”.

Pada Mac 2016, Malaysia memanggil duta China untuk menjelaskan mengapa terdapat banyak bot bendera China di perairan Malaysia.

Bulan lalu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia berpendirian “semua aspek geografi atau ciri maritim yang berada dalam bidang kuasa maritim adalah milik Malaysia”, petunjuk jelas Malaysia menolak tuntutan China ke atas Luconia Shoals.

Laporan Guardian berkata kehadiran China yang begitu jauh menunjukkan setinggi mana cita-cita ketenteraan Beijing, selain mencetuskan permusuhan dengan negara Asia Tenggara, boleh mencetuskan krisis dasar luar negara dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Laporan mengambil maklum China menghabiskan banyak tahun menuntut pulau terumbu karang di Laut China Selatan, dan bulan lepas menyiapkan 3 pangkalan tentera besar di situ lengkap dengan kemudahan tentera laut, udara, radar dan peluru berpandu.

Menurut laporan itu, isu itu dijangka menjadi agenda penting dalam pertemuan antara Trump dan Presiden China Xi Jinping yang melawat Amerika Syarikat hari ini.