Pemaju Forest City henti jualan di China, pulang deposit pelabur

forest-city-johorPETALING JAYA: Pemaju projek Forest City, Country Garden Holdings sudah menghentikan jualan projek itu di China sepenuhnya dan pelabur boleh membatalkan tempahan serta mendapatkan deposit mereka, lapor South China Morning Post (SCMP).

Naib Presidennya, Zhu Jianmin yang dipetik SCMP berkata, pihaknya tidak akan mengenakan sebarang bayaran pembatalan tempahan kepada pelabur China yang sudah membayar deposit, tetapi tidak boleh memindahkan wang mereka dari China disebabkan dasar kawalan modal yang dilaksanakan Beijing.

Zhu menekankan projek itu sentiasa mematuhi peraturan di Malaysia serta China, dan hanya kira-kira 5% pembeli berhasrat membatalkan tempahan mereka.

Menurut laporan SCMP, gergasi hartanah di China itu menutup semua galeri jualan Forest City di negara berkenaan pada bulan lalu, susulan kawalan modal yang dilaksanakan Beijing.

Forest City ialah projek bandar pintar futuristik yang akan dibina di atas 4 pulau buatan manusia seluas 1,385.6 hektar di Johor. Projek bernilai RM100 bilion itu dijangka siap dalam tempoh 20 tahun dan dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk rumah, pejabat dan pusat beli-belah.

SCMP melaporkan sehingga kini, syarikat itu menjual hampir 17,000 unit hartanah bernilai kira-kira 20 bilion yuan (AS$2.9 bilion), kebanyakan kepada pelabur dari China.

China melarang rakyatnya menukar yuan kepada mata wang lain untuk pembelian hartanah di luar negara dalam usaha membendung aliran keluar modal, sejak Januari lalu.

Sebaliknya, Beijing hanya membenarkan rakyatnya menukar AS$50,000 yuan kepada mata wang lain setiap tahun.

Projek Forest City menjadi tumpuan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik pelaburan China di Iskandar Malaysia, termasuk projek Forest City.

Bekas perdana menteri itu pada Februari lalu mendakwa 700,000 warga China akan menetap di Johor dan mengubah lanskap politik negeri itu selama-lamanya.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tampil berikrar akan mempertahankan kedaulatan Johor dan membidas Dr Mahathir cuba bermain politik ketakutan dan perkauman.

Pemaju Forest City buka semula 50% pejabat jualan di China

Sultan Johor bidas Dr Mahathir