Penerangan usul Hadi tidak meyakinkan MCA

wee-ka-siongKUALA LUMPUR: MCA menyifatkan pembentangan usul Hadi hari ini tidak lengkap kerana ia sekadar menghuraikan usul yang hendak dicadangkan.

PAS melalui presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) membentangkan usul mencadangkan hukuman maksimum mahkamah syariah ditingkatkan daripada penjara 3 tahun kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada 100 sebatan rotan.

Bagaimanapun, penerangan rang undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 oleh Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) nampaknya tidak menyakinkan MCA.

“Saya anggap usul ini tidak lengkap kerana ia cuma 1 usul, setakat menyelesaikan huraian usul persendirian yang hendak dibawa. Itu saja,” kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam).

“Berbahas sehingga esok pagi – seperti berlaku semalam – tidak akan menyelesaikan apa-apa kerana ada perbezaan pendapat. Pendirian MCA tetap sama.”

Timbalan presiden MCA itu berkata partinya tetap dengan pendirian menolak RUU 355.

“Apa pun, Abdul Hadi dan Takiyuddin sudah diberi peluang membuat penjelasan di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, MIC berkata sekiranya Pandikar membenarkan perbahasan, ahli Parlimen mereka akan memberikan pandangan mengikut sudut Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun kami menghargai pandangan dan penjelasan diberikan hari ini, namun di sebalik itu, ada beberapa kebimbangan, misalnya Artikel 121A apabila ia mula-mula dipinda, ada jaminan sama orang bukan Islam tidak akan terkesan, tetapi kemudiannya kita ada kes-kes seperti Indira Gandhi,” kata presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam (BN-Segamat).

Hadi semasa pembentangannya berkata menyelar ahli Parlimen Islam dan bukan Islam yang membantah usulnya, sambil berkata penentangan itu petanda buruk terhadap budaya “politik perpaduan matang”.

Hadi mempertikaikan mengapa denda bagi kesalahan memiliki burung tertentu lebih tinggi daripada denda mengajar ajaran sesat.

Beliau juga mempertikaikan mengapa hukuman gagal memberikan nafkah lebih rendah di mahkamah syariah berbanding hukuman di mahkamah sivil.

“Islam adalah agama rasmi persekutuan, tetapi penganut agama Islam dalam negara tidak dapat menikmati keadilan menggunakan agama mereka,” kata Hadi.

Sejurus selepas pembentangan usul oleh Hadi dan penerangan oleh Takiyuddin, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang, menyebabkan wakil rakyat lain tidak dapat mengambil bahagian membahaskan usul tersebut.