Rasuah: Lepas tahan ‘Tan Sri’, SPRM tahan anaknya pula

unnamed (3)PETALING JAYA: Sehari selepas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang “Tan Sri” di Johor kerana disyaki terbabit kes penipuan, anak lelaki suspek kini turut ditahan.

Lelaki berusia 31 tahun yang ditahan berhubung kes itu, dibawa ke mahkamah bersama bapanya di Putrajaya jam 9 pagi hari ini untuk direman, lapor The Star.

Akhbar itu melaporkan lelaki itu ditangkap di Johor Bahru dan siasatan awal menunjukkan dia turut terlibat dalam kes penipuan itu.

Semalam, SPRM menahan seorang ahli perniagaan yang juga pesara politik bergelar “Tan Sri” berusia 63 tahun.

SPRM turut menahan 4 pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

The Star melaporkan “Tan Sri” itu dikatakan mengemukakan tuntutan palsu kepada JPS berkaitan pembekalan geotubes untuk kerja pemulihan sungai melibatkan pengorekan dan penggalian.