RUU 355: Hanya 11 penyokong PAS ke Parlimen sokong Hadi

ruu-355KUALA LUMPUR: Hanya 11 penyokong PAS berkumpul di luar bangunan Dewan Rakyat bagi menyuarakan sokongan terhadap rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang bakal dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kumpulan kecil itu hadir dengan berbaju ungu yang merupakan warna simbolik ketika PAS menganjurkan Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, pada 18 Februari lalu.

Wakil kepada kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nazir berkata, pihaknya menyasarkan 3,000 penyokong akan hadir memberi sokongan kepada Hadi untuk membentangkan RUU 355.

“Kami jangkakan dalam 3,000 orang akan hadir. Tetapi, memandangkan hari ini orang bekerja, kami percaya semua akan berdoa untuk RUU ini,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, berbeza dengan himpunan sebelum ini, hari ini mereka hadir tanpa sebarang sepanduk atau kain rentang.

“Kami datang tanpa membawa kain rentang. Hanya niat untuk nyatakan sokongan sahaja,” katanya.

Pada 29 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Barisan Nasional tidak akan membentangkan RUU 355 di Parlimen selaras dasar dan amalan konsensus gabungan itu.

Oleh itu, katanya, RUU 355 kekal RUU persendirian dan terpulang kepada speaker Dewan Rakyat untuk menentukan mengikut aturan urusan mesyuarat.

Hadi dijangka membentangkan RUU 355 hari ini, iaitu hari terakhir mesyuarat pertama Dewan Rakyat bagi penggal ke-5 Parlimen ke-13, selepas usul itu dinaikkan daripada kedudukan ke-13 kepada pertama dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

RUU 355 itu bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Hadi pertama kali membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016, selepas kerajaan membenarkan ia mendahului RUU kerajaan.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Marang itu menangguhkan perbahasan RUU 355 dan membentangkan versi disemak semula pada November 2016 selepas ia sekali lagi dinaikkan dalam aturan urusan mesyuarat.