Tangguh usul Hadi: Langkah strategi Umno, kata Syed Saddiq

syed-saddiq-3

PETALING JAYA: Keputusan untuk sekali lagi menangguhkan usul Presiden PAs Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) mungkin langkah strategi Umno untuk meredakan ketegangan antara mereka dan PAS.

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata BN memberikan peluang kepada PAS membentangkan usul di Dewan Rakyat, walaupun tanpa bahas.

“Sidang Parlimen yang akan datang besar kemungkinan hanya selepas pilihan raya. Umno setakat ini dah berjaya pecah belahkan pembangkang.

“Dalam pertandingan 3 penjuru, kemungkinan besar Pas atau Pakatan Harapan akan hilang banyak kerusi.

“Dah banyak kali kita lihat perkara ini berlaku, dari ketika Pas dikhianati Umno untuk merampas Kelantan hingga semua janji pilihan raya yang dibuat Umno.”

Syed Saddiq berkata menangguhkan debat usul Hadi menunjukkan permainan politik Pas dan Umno.

Rakyat menjadi saksi kepada permainan kuasa politik itu.

“Banyak yang naik muak dengan politik negara secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat menyelesaikan lima rang undang-undang kerajaan dan menangguhkan 4 RUU lain dalam maraton sidang selama 20 jam.

Dipercayai maraton itu bertujuan untuk membuka laluan kepada PAS membacakan usul Hadi hari ini, yang mahu meminta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Bagaimanapun, sejurus selepas usul dibacakan petang tadi, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan debat ditanggukan ke sidang seterusnya.

“Ini bukan kali pertama, bukan kali ke-2, tetapi kali ke-3 usul ini telah pun ditangguhkan,” kata Syed Saddiq.

Peguam Syahredzan Johan berkata bukan PAS yang dimainkan Umno hari ini.

Sebaliknya, yang dipermainkan Pakatan Harapan dan mereka yang percaya akan ada perbahasan dan pengundian tentang usul RUU 355.

“Yang menang adalah Umno dan PAS,” katanya di Facebook.

Beliau percaya Umno dan PAS akan menggunakan sokongan kepada RUU 355 sebagai modal kempen pilihan raya jika diadakan sebelum sidang Dewan Rakyat seterusnya.

“Tiada seorang pun wakil rakyat PAS yang bantah penangguhan ini. Baik yang menangis dalam Dewan ataupun yang tidak. Saya jangka mereka tahu ini akan berlaku.”

Shahredzan percaya PAS dan Umno akan menggunakan sokongan kepada RUU 355 untuk menggambarkan diri mereka sebagai “pembela Islam” untuk meraih undi.

“Nah, lihat Lim Kit Siang dan DAP kacau sebelum bentang. Nah, lihat Khalid Samad terpekik macam orang hilang kewarasan.

“Takkanlah anda sebagai orang Islam mahu sokong golongon macam itu.”

Usul Hadi mula dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mei tahun lepas tetapi ditangguhkan ke sidang seterusnya.

Pada November, Hadi meminta RUU asal dengan mencadangkan hukuman maksimum syariah dinaikkan kepada 30 tahun penjara, 100 sebatan rotan dan denda RM100,000.

Sekarang ini, hukuman maksimum syariah dihadkan kepada 3 tahun penjara, 6 sebatan rotan, dan denda RM5,000.