Teresa saman Jamal atas dakwaan seleweng dana Yawas

 

Teresa-KokKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menyaman Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos kerana memfitnahnya menyeleweng dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Beliau mendakwa kenyataan Jamal itu mencemarkan reputasinya sebagai ahli politik kanan DAP dan memberi bayangan beliau ialah pengamal rasuah.

“Tuduhan Jamal tidak berasas kerana saya tidak menyalahgunakan kuasa saya untuk mendapatkan dana daripada Yawas,” kata Kok dalam pernyataan tuntutannya.

Dalam saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam, Kok menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Kok turut memohon perintah injunksi untuk menghalang pemimpin Baju Merah itu dan ejennya mengeluarkan kenyataan lanjut yang memfitnahnya.

Bercakap kepada pemberita di Mahkamah Tinggi hari ini, peguam Kok, Sankara Nair berkata tuduhan Jamal hanya berdasarkan khabar angin.

“Beliau mempunyai rekod bersih dalam apa yang dilakukannya.

“Untuk mengatakan beliau menipu dan menyalahgunakan dana awam adalah satu dakwaan serius,” katanya.

“Jika Jamal berani menuduh Kok, dia harus tampil dan menerima writ saman,” kata Sankara menjawab soalan sama ada pihaknya menjangkakan kesukaran menyerahkan writ saman itu kepada pemimpin Umno terbabit.

Sebelum ini, peguam kepada Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memberitahu media Jamal enggan menerima saman yang difailkan terhadapnya.

Ditanya sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil Kok untuk merakamkan kenyataannya, beliau berkata, SPRM tidak memanggilnya tetapi menyerbu pejabatnya minggu lepas.

Dalam satu kenyataan minggu lepas, naib pengerusi DAP itu berkata, “tuduhan palsu” dilemparkan Jamal kepadanya dan rakannya adalah “taktik kotor” untuk memfitnah mereka sebelum pilihan raya umum akan datang.

Jumaat lepas, pegawai SPRM menyerbu pejabat Kok untuk mencari dokumen asal Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di bawah dana Yawas.

Serbuan itu dipercayai dilakukan berdasarkan laporan polis Jamal terhadap Kok dan rakan DAP lain.

Laporan pertama difailkan pada 14 Mac lalu dengan mendakwa ahli politik dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mengambil dana untuk tujuan kebajikan daripada Yawas, tetapi tidak mengagihkannya kepada penerima yang layak.

Jamal mengenal pasti Kok, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan seorang wakil PKR yang tidak dinamakan sebagai dalang.

Ini adalah saman fitnah ke-3 difailkan terhadap Jamal.

Tahun lepas, Chin menyaman Jamal atas dakwaan Bersih mempunyai kaitan dengan IS, manakala Zuraida menyamannya atas dakwaan beliau ialah dalang di sebalik hidungnya berdarah dalam kekecohan melibatkan kumpulan Baju Merah dan polis di Pusat Beli-belah Ampang Point, November lalu.

 

Kita jumpa di mahkamah, kata Teresa pada Jamal Yunos

Fitnah satu dosa, nanti masuk neraka, kata Teresa Kok