Umat Islam lebih ramai daripada Kristian dalam 20 tahun, menurut kajian

islamPETALING JAYA: Islam mungkin menjadi agama terbesar di dunia menjelang akhir abad ini susulan kadar kelahiran umat Islam dijangka melebihi penganut Kristian dalam tempoh 20 tahun.

The Wall Street Journal (WSJ) memetik kajian terbaru Pusat Penyelidikan Pew di Amerika Syarikat yang dikeluarkan semalam menunjukkan Islam adalah agama paling cepat berkembang dengan populasi beragama Islam meningkat lebih 150 juta orang kepada 1.8 bilion orang antara 2010 hingga 2015.

Agama Kristian yang masih menjadi agama terbesar di dunia ketika ini bagaimanapun berkembang perlahan, sebahagian besarnya disebabkan populasi semakin merosot di Eropah. Terdapat 2.3 bilion penganut Kristian setakat 2015.

Walaupun kelahiran penganut Kristian di seluruh dunia mencecah 33% – lebih sedikit daripada jumlah kelahiran umat Islam sejak beberapa tahun ini, kadar kematian penganut Kristian sebanyak 37% di seluruh dunia juga adalah hampir 2 kali ganda lebih tinggi daripada penganut agama lain.

“Agama Kristian sedang mati di Eropah secara harfiah,” kata penyelidik utama kajian itu, Conrad Hackett.

Di kebanyakan negara Eropah, termasuk England, Jerman, Itali dan Rusia, kadar kematian penganut Kristian mengatasi kadar kelahiran dari 2010 sehingga 2015. Agama itu disokong pertumbuhan berterusan di Afrika dan Amerika Latin.

“Pusat agama Kristian bergerak dari Eropah ke Afrika,” kata Hackett.

Laporan terbaru itu adalah pengembangan kepada kajian Pusat Penyelidikan Pew dari 2015, yang pertama kali mengunjurkan menjelang 2050, populasi umat Islam di seluruh dunia akan hampir sama dengan populasi penganut Kristian, mungkin buat julung kali dalam sejarah.

Kajian terbaru itu turut menjangkakan sehingga 2060, populasi penganut Kristian dan umat Islam menjadi hampir sama.

Populasi umat Islam di seluruh dunia dijangka berkembang 70% antara 2015 hingga 2060, manakala Kristian pula berkembang sebanyak 34%.

Antara faktor mempengaruhi pertambahan penganut kedua-dua agama itu ialah kesuburan. Jumlah umat Islam bertambah sedikit beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan individu yang memeluk agama itu, manakala Kristian pula kehilangan penganutnya akibat pertukaran agama.

Ketika ini, 16% populasi dunia tidak mempunyai sebarang agama, dengan kebanyakannya tinggal di China. Kumpulan itu paling bermanfaat daripada pertukaran agama, dengan lebih 12 juta orang dijangka meninggalkan sebarang agama antara 2015 dan 2020.

Bagaimanapun, peratusan populasi dunia yang tidak mempunyai sebarang agama dijangka menurun dalam beberapa dekad akan datang kerana kadar kelahiran rendah berbanding kumpulan agama lain.