Zaid: Ahli politik membisu, takut Taliban tempatan

zaid-ibrahim-taliban2KUALA LUMPUR: Pemimpin dan ahli politik di Malaysia tidak menyokong undang-undang dan keputusan yang baik seperti mengharamkan perkahwinan kanak-kanak kerana mereka takut dengan Taliban tempatan, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Dalam artikel terbaru di blognya, Zaid berkata: “Jika kita dipimpin ketua Muslim yang benar-benar cekap mampu, tidak sukar untuk menetapkan umur minimum berkahwin ialah 18, dengan kelonggaran bagi 16 tahun jika ada kematangan mental dan psikologi untuk mengekalkan hubungan.

“Tetapi kita tidak boleh begitu kerana kita ada ahli politik beragama Islam yang berfikiran cetek dan takut dengan Taliban yang sudah pasti membantah langkah seperti itu.”

Ahli DAP itu berkata beliau kesal ada pihak yang memuji rang undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 tetapi membisu mengenai kerajaan membenarkan perkahwinan kanak-kanak berterusan.

“Bukankah membenarkan kanak-kanak 13 atau 14 tahun berkahwin, itu pelanggaran seksual dan psikologi anak?

“Jadi mengapa perkahwinan kanak-kanak bukan satu kesalahan terhadap kanak-kanak di bawah undang-undang baharu itu?

“Jawapannya ialah takut pada ‘pemberontakan Taliban’ jika kita ada undang-undang mengharamkan perkahwinan kanak-kanak,” katanya.

Zaid berkata pemimpin politik di negara ini pengetahuan Islam yang terlalu asas dan cetek, jadi mereka takutkan PAS dan ulama konservatif dalam Umno yang menyokong kuat perkahwinan kanak-kanak.

“Jadi mudahnya ialah berdiam saja,” katanya.

Katanya, beliau bangga dengan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang tidak letih-letih mendesak perkahwinan kanak-kanak diharamkan sebagai sebahagian perubahan terhadap perlindungan kanak-kanak.

“Sudah tentu, ada ramai yang tidak mahu cari gaduh dan menyokong ahli Palrimen DAP walaupun mereka tahu perkahwinan kanak-kanak itu salah.

“Mereka sekali lagi membenarkan diri menjadi mangsa Taliban tempatan. Takut dituduh anti Islam, maka ‘pemimpin’ ini lebih suka memilih untuk diam,” katanya.

Bekas menteri undang-undang itu berkata Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff daripada PAS pernah beritahu Teo yang dia tidak ada keperluan bercakap mengenai undang-undang Islam.

“Ini cara biasa yang digunakan untuk mendiamkan ahli Parlimen supaya mereka tidak cakap perkara yang tidak dipersetujui oleh Taliban.

“Apa yang PAS dan NGO Islam lain perlu faham ialah fakta ringkas: undang-undang dibuat di Parlimen atau sidang DUN, bermakna ahli yang dilantik layan bercakap mengenai undang-undang apa pun yang mereka mahu.

“Mereka bukan saja layak berbuat demikian – rakyat mengharapkan mereka buat begitu,” katanya.

Beliau berkata tidak ada Parlimen di Arab Saudi, jadi mungkin ahli Parlimen Rantau Panjang tidak faham bagaimana sesebuah sistem berfungsi.

Zaid berkata beliau setuju dengan pandangan semakin ramai Muslim progresif dalam masyarakat moden patut membenarkan gadis muda dikahwinkan kecuali jika ada situasi yang sebaliknya.

Menggunakan Al-Quran bagi menyokong hujahnya, Zaid berkata surah an-Nisa 4:6 tidak menyatakan sebarang umur untuk berkahwin.

Katanya, kerana takut dilabel anti Islam oleh Taliban tempatan, berlaku situasi di mana mahkamah syariah membenarkan lelaki tua berkahwin dengan kanak-kanan berumur 12 atau 13 tahun dan ahli Parlimen BN nampaknya menyokong rogol, asalkan perogol itu mengahwini mangsanya.

“Apa dah jadi dengan negara ini? Bukan ini yang sepatutnya diamalkan negara Islam moden. Lihat Tunisia dan Morocco. Mereka negara Islam juga, tapi ada undang-undang demokrasi moden untuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Zaid berkata Islam perlukan pendekatan baharu di Malaysia tetapi ia tidak akan berlaku di bawah kerajaan pada masa ini.

“Sebelum kita boleh ada pemimpin Islam yang mampu mengetuai negara, nampaknya ahli DAP perlu terus bercakap mengenai perkara itu di Parlimen demi kepentingan wanita dan kanak-kanak, tanpa mengira berapa teruk kami dicemuh,” katanya.