Biar kami tentukan artis mana boleh masuk Malaysia, kata Seniman

zed-zaidi-okchopePETALING JAYA: Sebuah persatuan mewakili penghibur tempatan mahu kerajaan lebih tegas dalam membenarkan artis luar negara memasuki Malaysia, susulan kontroversi yang ditimbulkan sebuah program lawak di Singapura yang dituduh menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berkata Malaysia perlu mencontohi Indonesia menghalang mana-mana artis luar negara yang tidak mendapat kelulusan daripada persatuan seni sebelum dibenarkan memasuki negara.

“Di Indonesia, mana-mana artis luar negara boleh ditahan di imigresen. Mereka perlu dapatkan surat sokongan daripada persatuan seni terlebih dahulu sebelum memasuki negara,” kata Presiden Seniman, Zed Zaidi.

“Kita patut buat begitu, kita tak perlu berlembut sangat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak berpuas hati dengan permohonan maaf pengacara terkenal Singapura Najip Ali, susulan kata-kata yang dilihat mempersenda Najib dalam program “OK Chope!”, sebuah rancangan komedi Singapura yang cuba melihat sisi lucu isu semasa.

Zaidi berkata tindakan Najip sukar dimaafkan kerana ia satu penghinaan kepada Malaysia.

“Dia main isu sensitif sebab Malaysia ini soal negara dan agama sangat sensitif dan kami harap ia menjadi pengajaran kepada artis lain, sebab benda ini bukan sekali di mana sebelum ini parkara sama berlaku melibatkan artis luar.

“Najip Ali tidak profesional. Dia guna seni untuk merendahkan imej perdana menteri kita. Cuba kalau program TV di Malaysia kritik perdana menteri mereka, apa mereka rasa?

“Kamu kerja dan cari makan di sini tapi kamu hentam perdana menteri kita, apa hal?” katanya kepada FMT.

Najip merupakan antara panel hakim program lawak Astro, Maharaja Lawak Mega 2017. Bagaimanapun, badan penyiaran itu enggan menyatakan sama ada beliau akan digugurkan daripada rancangan tersebut.

Zaidi berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Najip supaya tindakan seterusnya diambil.

Terdahulu, badan penyiaran Singapura, Mediacorp, memohon maaf kepada Najib atas segmen program “OK Chope!” minggu lalu, di mana Najip dan beberapa peserta lain berjenaka mengenai isu semasa.

OK Chope! sebuah rancangan mingguan yang disiarkan secara langsung, memaparkan pelawak yang memberikan pandangan lucu tentang berita dan ehwal semasa.

“Kami dengan ikhlas meminta maaf atas kesilapan ini,” kata Mediacorp.

Najip pula berkata beliau betul-betul menyesal dengan kata-katanya.

“Saya sedar betapa saya tidak sensitif dan tidak berhemah.”

TV Singapura mohon maaf senda Najib di Ok Chope!