‘Datuk Kabi’ didakwa lagi tuduhan menipu

dato-kabiPETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan yang menggelar dirinya ‘Datuk Kabi’ sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menipu seorang usahawan perindustrian berhubung penyelesaian saman Tenaga Nasional Berhad (TNB) melibatkan jumlah RM150,000.

C Kamaleshwaran, 38, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Tertuduh sebelum ini beberapa kali dihadapkan di mahkamah atas kesalahan sama, didakwa menipu seorang lelaki warga emas, Foo Kee Peng, 68, dengan memperdaya mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 bagi menyelesaikan saman TNB.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi hotel PJ Hilton pada jam 2.20 petang, 31 Mac tahun lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam V Saravanan memohon mahkamah membenarkan jaminan yang minimum atas alasan anak guamnya mempunyai 4 anak yang masih kecil dan dia penanggung utama keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan itu.

Sebelum ini, tertuduh beberapa kali didakwa atas kesalahan serupa di beberapa mahkamah di ibu negara, Pulau Pinang dan Perak antara tahun 2009 hingga 2012.