Filipina: Tak, kami mahu naik taraf kemudahan, bukan tawan pulau

duterteMANILA: Filipina akan menaik taraf kemudahan sedia ada di pulau dan terumbu Laut China Selatan dalam kawalannya dan bukan menawan kawasan baharu, mematuhi kod tidak rasmi 2002 mengenai perairan yang menjadi pertikaian itu, kata pegawai pertahanan hari ini.

Kenyataan dari Pejabat Presiden Rodrigo Duterte pada Khamis mengarahkan tentera menduduki pulau dan beting yang tidak didiami yang dituntut Filipina di perairan itu, menegaskan kedaulatan Filipina melalui cara yang mungkin mengundang kemarahan China.

Pemimpin itu, ketika berkempen berseloroh akan menaiki jet ski ke pulau buatan China di Laut China Selatan bagi mengukuhkan tuntutan Manila, juga berkata beliau mungkin akan melawat dan menaikkan bendera di pulau yang berada dalam kawalan negaranya.

Tetapi pegawai pertahanan kemudian menerangkan semula kenyataan presiden mereka.

“Arahan presiden sangat jelas. Duduki kawasan sedia ada dalam kawasan tuntutan kami,” katanya seorang laksamana tentera laut, yang mengetahui rancangan pembangunan di Laut China Selatan, kepada Reuters hari ini.

“Filipina tidak boleh menawan kawasan baharu di Spratly, mengikut persetujuan pada 2002,” katanya lagi.

Kementerian Luar Negeri China pada Jumaat bimbang dengan laporan kenyatraan Duterte dan berharap Filipina akan meneruskan perbincangan menangani pertikaian maritim dengan China.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, yang menjadi laluan AS$5 trilion barangan setiap tahun. Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan juga mempunyai tuntutan.

Kenyataan presiden dibuat selepas diberi penerangan mengenai perkembangan Laut China Selatan oleh kepimpinan pertahanan di Palawan, menurut pejabat komunikasi beliau. “Apa yang beliau maksudkan adalah kawasan yang kami duduki,” kata jurucakap tentera Brigadier Jeneral Restituto Padilla kepada pemberita pada Khamis.

Menteri Pertahanan Delfin Lorenzana berkata mereka hanya merancang untuk membaiki dan menaik taraf kemudahan di Spratly.

“Presiden mahu kemudahan dibina seperti berek, sistem air dan pembuangan sisa, penjana elektrik, rumah api dan tempat perlindungan untuk nelayan,” kata Lorenzana.

Seorang lagi jeneral, yang tidak mahu dinamakan, berkata memang ada rancangan pembangunan di Laut china Selatan pada 2012, termasuk membina pelabuhan di pulau Thitu dan landas helikopter di 3 pulau kecil, dimana tentera mereka dikerahkan.

Tetapi rancangan itu, yang juga memerlukan kerahan tentera ditingatkan di pulau yang ditawan, dihentikan selepas Filipina memfailkan kes terhadap China di The Hague pada 2013.

Filipina menduduki 9 “ciri-ciri”, atau pulau dan terumbu, di Laut china Selatan, termasuk kapal pengangkut Perang Dunia Ke-2 yang terkandas di Second Thomas Shoal pada 1990an.

Jabatan Negara AS enggan mengulas kenyataan Duterte, tetapi menggesa negara yang membuat tuntutan dalam pertikaian di Laut China Selatan supaya meredakan ketegangan dan menangani perbezaan mereka mengikut undang-undang antarabangsa.