Guan Eng: Tiada jalan keluar untuk Shabudin

guan-eng-shabudinGEORGE TOWN: Shabudin Yahaya tidak dapat menjelaskan kenyataan kontroversinya di Parlimen tempoh hari, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang menyeru ahli Parlimen Tasek Gelugor meletak jawatan.

Ketika diberitahu Shabudin mendakwa media melaporkan ucapan perbahasannya di luar konteks, Guan Eng berkata ucapan Shabudin sudah dirakam dan tidak dapat dipertikaikan.

“Kamu tengok rakaman itu…kamu tengok rakaman videonya – ia mengatakan perkara berbeza.

“Dia cuba menafikan sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Dia tidak mahu akui kenyataannya salah.

“Dia sudah melakukan 2 kesalahan – pertama kerana membuat kenyataan itu dan kedua kerana menafikannya,” kata Guan Eng hari ini.

Shabudin mengundang kontroversi apabila mengatakan mungkin lebih “selamat” untuk mangsa rogol berkahwin dengan perogol mereka dan mencadangkan seorang perempuan yang mencapai akil baligh daripada umur 9 tahun secara jasmani dan rohani bersedia untuk berkahwin.

Hari ini, beliau menjelaskan “perogol” merujuk kepada pelaku seks suka sama suka dengan perempuan bawah umur, iaitu rogol statutori, dan isu sudah disensasikan oleh media. Shabudin mungkin akan menyaman media yang didakwa mencemar imej beliau.

Guan Eng berkata Dewan Undangan Negeri akan membentangkan usul “mengecam” kenyataan Shabudin bulan depan, walau apapun penjelasan yang diberikan.

Walaupun Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk singkir mencela Shabudin, Guan Eng berkata langkah itu akan menjadi kecaman paling keras terhadapnya.

Beliau menambah perkahwinan bawah umur tidak patut diluluskan, terutamanya dalam konteks mangsa rogol.

“Dia mengatakan perogol boleh bertaubat (dengan berkahwin dengan mangsa). Itu perkara yang salah.

“Kita kesali kegagalan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional menangani perkara ini dengan serius, dan terutamanya, pasti ada kemarahan dalam kalangan wanita.”