Harimau Malaya kini di tangga 157 ranking FIFA

harimau-malayaKUALA LUMPUR: Malaysia menaiki 4 anak tangga untuk menduduki tempat ke-157 dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Skuad Harimau Malaya, yang memperoleh 64.6 mata selepas seri tanpa jaringan dengan Filipina dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Kelas A di Manila baru-baru ini, membantu Malaysia mengumpul sejumlah 146 mata untuk menapak naik daripada kedudukan ke-161 dalam ranking itu.

Malaysia kini setanding dengan negara seperti Sudan dan Selatan Sudan yang berkongsi di kedudukan ke-154, Papua New Guinea (156), Moldova (158), Singapura (159) dan Mauritius (160).

Malaysia menduduki tempat ke-161 dalam ranking FIFA itu pada Januari lepas sebelum jatuh ke kedudukan ke-162 pada Februari dan kembali naik ke tempat ke-161 pada Mac.

Ranking FIFA melibatkan 209 negara di seluruh dunia.