Izin Majlis Raja-raja perlu untuk pinda undang-undang syariah

gopal-sri-ram-1PETALING JAYA: Rang undang-undang persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu meningkatkan hukuman syariah perlu mendapatkan persetujuan Majlis Raja-raja, kata seorang bekas hakim persekutuan.

Gopal Sri Ram berkata raja merupakan ketua agama di negeri masing-masing.

“Persetujuan sah daripada Majlis Raja-raja perlu didapatkan apabila ia melibatkan pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang Islam.

“Meningkatkan hukuman sebahagian daripada pentadbiran undang-undang Islam,” katanya menjawab sama ada persetujuan Majlis Raja-raja Melayu diperlukan sebelum usul Hadi boleh dibahaskan di Parlimen.

Semalam, Hadi dibenarkan untuk membentangkan rang undang-undang itu tetapi perbahasan ditangguhkan ke sidang seterusnya.

Gopal berkata membahaskan dan meluluskan rang undang-undang tanpa persetujuan raja sebenarnya tidak berperlembagaan.

“Hanya kerana sebelum ini kerajaan gagal mendapatkan persetujuan raja tidak bermakna mereka boleh ambil jalan pintas. Yang salah tetap salah,” tambahnya.

Hadi cuba mendapatkan persetujuan Parlimmen untuk meningkatkan hukuman maksimum kesalahan syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

Pada masa ini, hukuman yang diperuntukan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 terhad kepada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan rotan.

Gopal berkat Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri pada 2015 juga tidak berperlembagaan.

Beliau berkata undang-undang jenayah Islam bukan dibawah bidang kuasa negeri.

“Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman undang-undang jenayah. Hanya Parlimen boleh menentukan kesalahan dan ukuran hukuman,” katanya.

Gopal berkata kerajaan negeri hanya mentadbir undang-undang diri dan persendirian, seperti perceraian dan waris.

Beliau berkata rakyat boleh meminta Mahkamah Persekutuan mencabar keperlembagaan enakmen negeri 2015 itu di bawah Perkara 4(3) dan 4(4).

Beliau berkata cubaan meminda Akta 355 dalam usaha melaksanakan undang-undang jenayah syariah di Kelantan melanggar prinsip kesamaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata tidak boleh ada 2 sistem keadilan jenayah yang selari.

“Rakyat berhak menyuarakan kebimbangan mereka. Akta 355 bukan hak eksklusif Hadi Awang. Kalau dia berfikir demikian, maka dia salah di sisi perlembagaan,” tambahnya.

Terdapat 2 cubaan untuk mencabar kesahan enakmen Kelantan tetapi ditolak mahkamah atas alasan ia difailkan sebelum undang-undang itu diluluskan Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan juga membuang permohonan memohon kebenaran daripada 4 permohon selepas mereka gagal membuktikan beragama Islam dan akan terjejas dengan enakmen itu.