Janji Indonesia: Tiada jerebu dari Sumatera Barat tahun ini

Alex-Noerdin-jerebuPETALING JAYA: Gabenor Sumatera Barat Indonesia menjanjikan tidak ada jerebu dari wilayahnya tahun ini dan beberapa tahun akan datang yang boleh menyebabkan cuaca berjerebu menyerang negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura.

Portal Beritamediacorp.sg melaporkan Alex Noerdin berkata pelbagai langkah diambil bagi mengelak berlakunya jerebu dan antaranya ialah melaksanakan penggantungan 5 tahun menghentikan penyaliran dan pembersihan tanah gambut baharu, termasuk tanah pemberian dimiliki syarikat ladang.

Katanya, Sumatera Barat menjamin tiada jerebu meskipun pakar meteorologi menjangkakan cuaca lebih kering bakal melanda negara Asia pada penghujung Julai.

“Saya jamin tiada kebakaran… tiada jerebu dari wilayah Sumatra Barat tahun ini, dan tahun depan, dan tahun yang berikutnya,” katanya pada satu dialog Sumber Dunia Mampan ke-4 di Singapura, semalam.

Kenyataan itu disokong Ketua Agensi Pemulihara Tanah Gambut Indonesia Nazir Foead yang berkata rantau ini tidak mungkin mengalami musim jerebu seperti pada 2016 dan tahun sebelumnya.

Kebakaran di kawasan hutan di Riau, Jambi dan Kalimantan menjadi punca krisis jerebu paling teruk melanda Malaysia, Singapura dan Thailand pada 2015. Seluas 700,000 hektar hutan di Sumatera Barat dan kawasan tanah gambut musnah akibat kebakaran itu.

Alex dipetik portal itu sebagai berkata menerusi sokongan antarabangsa, pelbagai usaha dijalankan untuk memadamkan api dan pihak berkuasa Indonesia juga melaksanakan langkah lebih ketat bagi mencegah jerebu daripada berulang.

Bagaimanapun, Pengerusi Institut Singapura bagi Ehwal Antarabangsa Profesor Madya Simon Tay yang turut hadir di majlis dialog itu berkata “udara tanpa jerebu tidak dapat dijamin” dan kebanyakan pakar industri serta meteorologi percaya tiada jerebu pada tahun lalu kerana kekerapan hujan.