Kami akur siasatan polis, Nur Jazlan mungkin salah faham, kata anak Tajuddin

tajuddinPETALING JAYA: Kumpulan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman nafi membantah siasatan polis ke atas mereka, susulan kes serangan terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

Firdaus, yang juga anak kepada pemimpin Umno itu berkata kritikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed terhadap mereka mungkin berpunca daripada salah faham.

“Kami tidak bantah tindakan polis terhadap kami. Kami faham tindakan itu berdasarkan tatacara operasi standard polis,” katanya kepada FMT.

“Apa yang kami persoalkan ialah laporan polis yang dibuat abang sulung saya (Dr Faizal) itu sahaja, kerana tidak ada tindakan langsung selepas laporan polis terhadap Khalid Samad.”

Pada sidang media semalam, Dr Faizal mahu polis membuka semula kertas siasatan terhadap Khalid, berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat sehari sebelum kekecohan di Parlimen 24 November lepas.

Dr Faizal mempersoalkan keputusan untuk tidak mengambil tindakan susulan ke atas laporan itu, yang dibuat kerana Khalid memanggil Tajuddin “sial”.

Mereka kemudian cuba menemui Khalid di Parlimen, tetapi pergelutan dengan pihak keselamatan menyaksikan Dr Faizal, Firdaus dan 6 lagi individu disiasat dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda RM100 jika disabit kesalahan.

Selepas sidang media Dr Faizal, Nur Jazlan melahirkan rasa kesal dengan tindakan mereka mempertikaikan tindakan polis yang hanya menjalankan tugas.

Sebelum itu, di Dewan Rakyat 3 April lalu, kementerian dalam negeri memaklumkan kumpulan penyokong Tajuddin disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kalau ikut pendapat saya pertuduhan yang lebih berat harus dikenakan kerana mereka bertindak liar dan merbahaya di kawasan larangan seperti Parlimen,” kata Nur Jazlan.

Menjawab perkara tersebut, Firdaus menganggap ia cuma pendapat peribadi seorang timbalan menteri.

“Biar mahkamah tentukan dan pihak kami menghormati keputusan pihak mahkamah kelak,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/04/isu-sial-penyokong-tajuddin-desak-polis-buka-balik-kertas-siasat/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/04/takkanlah-kami-nak-tumbuk-khalid-samad-kata-anak-tajuddin/