Rugi RM90 juta kerana pelaburan tidak sah

arcrylsani-scamKUALA LUMPUR: Kerugian kira-kira RM90 juta melibatkan 249 kes pelaburan secara tidak sah direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman setakat dari 1 Januari hingga kini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Acryl Sani Abdullah Sani ia melibatkan pelaburan mata wang Forex (RM4,894,373.50), emas (RM24,305,462.70), projek hartanah (RM27,835,650), saham (RM5,239,938.80), pertanian (RM85,411.00), ternakan (RM99,000), perniagaan (RM10,154,151) dan lain-lain (RM17,424,429).

Acryl Sani berkata kes tersebut antara 4 jenis jenayah komersial yang menyebabkan kerugian sebanyak RM144,163,197.09 dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata 3 lagi jenis jenayah melibatkan 645 kes African atau Romance Scam (dengan kerugian RM26,362,129.48) 780 kes Penipuan Telekomunikasi RM18,013,477.80) dan 1,991 kes Belian Dalam Talian (RM7,889,439.78).

Acryl Sani menasihatkan orang awam berhati-hati ketika membuat urusan melalui atas talian.

“Sekiranya membeli barangan atas talian, anda seharusnya mengenali penjual dan jangan mudah untuk melakukan transaksi duit sekiranya berasa was-was,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran jabatannya sempena sambutan hari polis ke 210 di Menara 238 di sini hari ini.

Pada tahun lepas sebanyak 1,111 kes pelaburan secara tidak sah dicatatkan dengan kerugian RM205.9 juta. Terdapat 2,531 kes Afrika atau Romance Scam (dengan kerugian RM101,231,386.51) 1,920 kes Penipuan Telekomunikasi (RM53,249,337.59), dan 6,257 kes Belian Dalam Talian (RM30,516,088.11).