Zaid sindir orang PAS menangis gembira RUU 355 dibaca

Zaid-IbrahimPETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim hari ini dalam nada menyindir berkata ada orang Melayu terlalu mudah berpuas hati apabila ada yang menangis gembira ketika rang undang-undang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 194 (RUU 355) dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Menulis di Twitter hari ini, bekas menteri undang-undang itu berkata: “Ada melayu menangis gembira RU355 dibentang. Mereka mudah puas hati , bentang undang undang yang tak ada siapa guna pakai pun gembira”.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan yang menangis kegembiraan ketika Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU 355 di Parlimen semalam.

Ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen, Nasrudin berkata beliau menangis ketika Hadi membacakan usul itu kerana ia menjadi sejarah pertama bagi PAS, walaupun usul itu belum diluluskan.

“Begini, bila disebut tujuan kita meminda ini bukan untuk undi politik tapi bermaksud buktikan syariat Islam itu dapat dilaksanakan.

“Saya mengharapkan ahli Parlimen menilai dengan hati terbuka dan lihat bagaimana keadilan Islam,” katanya.

Zaid dalam Twitternya berkata mahkamah syariah pada masa ini juga tidak menggunakan hukuman maksimum yang berada dalam bidang kuasa, tetapi PAS yang memperjuangkan supaya kuasa menjatuhkan hukum mahkamah syariah diperkasa.

Pada masa ini, hukuman di mahkamah syariah menetapkan penjara maksimum 3 tahun, denda sehingga RM5,000 dan hukuman sebat maksimum 6 kali.

Pindaan yang dicadangkan kali ini ialah hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan. Kali terakhir hukuman yang diperuntukkan di bawah akta itu ialah pada 1984.

Zaid yang juga seorang peguam dilihat antara pengkritik lantang pindaan RUU itu dan sebelum ini pernah menggariskan 10 keburukan jika ia diluluskan.
Beliau berkata pindaan itu antara lain akan melebarkan jurang undang-undang syariah setiap negeri, seterusnya menjadikan sistem jenayah syariah tidak seimbang dan adil kepada orang Islam.

“Undang-undang syariah sedia tidak sama di setiap negeri. Terdapat perkara yang dilarang di sebuah negeri, tetapi tidak di negeri lain. Hukuman pula boleh berbeza untuk kesalahan sama, selain proses mahkamah yang tidak konsisten.

“Peningkatan had hukuman akan membuka ruang kerajaan negeri meningkatkan hukuman sedia ada, justeru menjadikan undang-undang syariah setiap negeri menjadi lebih berbeza,” katanya.

 

Zaid ingatkan keburukan jika RUU 355 diluluskan

Hadi bentang RUU 355, beri amaran ‘jangan permainkan Islam’