Dr Mahathir kurang setuju idea hidupkan semula pilihan raya PBT

mahathir-pbt-electionSHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad pada dasarnya tidak bersetuju dengan idea mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan atas alasan ia tidak sesuai di Malaysia buat masa sekarang.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, beliau bimbang pilihan raya kerajaan tempatan akan memburukkan lagi jurang antara kaum yang semakin ketara kebelakangan ini.

“Saya khuatir kalau saya jawab dengan keadaan sedia ada, mungkin saya dianggap seorang rasis. Tapi hakikatnya Malaysia ini berlainan dari negara lain kerana kita sebuah negara berbilang kaum.

“Lebih daripada itu, kita dapati perpisahan antara kaum di Malaysia kawasan bandar diduduki majoriti orang Cina dan luar bandar diduduki orang Melayu,” kata beliau yang menyandang jawatan perdana menteri selaam 22 tahun dari 1981.

Dr Mahathir menjelaskan, sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan ada kemungkinan bandar akan ditadbir oleh kaum tertentu manakala kawasan luar bandar pula akan ditadbir kaum yang lain.

“Sebab itu kita kena faham untuk mengurangkan perpisahan antara kaum kita tidak mengasingkan bandar dan luar bandar.”

Beliau menambah: “Kita sudah ada masalah dengan sekolah berlainan bangsa tetapi kalau kita memisahkan kawasan mengikut kaum, ini tidak selamat.”

Dr Mahathir yang menghadiri Program Hardtalk di sini malam tadi berkata demikian ketika ditanya sama ada menyokong pilihan raya kerajaan tempatan yang dimansuhkan pada 1 Mac 1965.

Sebelum ini, Presdien PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerang DAP berhubung isu pilihan raya kerajaan tempatan ekoran perdebatan terbuka di media antara Pengarah Pilihan Raya parti itu, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke mengenai isu hudud.

Hadi mendakwa pilihan raya kerajaan tempatan akan membawa kepada tercetusnya semula peristiwa 13 Mei dan akan menyebabkan kawasan bandar dikuasai satu kaum sahaja.

Pilihan raya kerajaan tempatan merupakan salah satu agenda manifesto yang dibawa komponen Pakatan Rakyat ketika bertanding pilihan raya umum 2008.

Pada Ogos 2014, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Pulau Pinang dan bekas presiden Aliran P Ramakrishnan untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan di negeri itu.

Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dan tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang.

Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

Kerajaan negeri Pulau Pinang dan Ramakrishnan memfailkan petisyen memohon untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan yang dimansuhkan pada 1 Mac 1965. Kerajaan negeri itu meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) pada 2012.

Ia mendakwa enakmen yang baru diluluskan itu turut melengkapkan Suruhanjaya Pilihan Raya dengan kuasa perundangan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang, dan oleh itu suruhanjaya itu secara sah diberi kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, beliau tidak menolak pilihan raya kerajaan tempatan secara bulat-bulat tetapi usaha untuk mengimbangi kaum di kawasan bandar perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum cadangan itu diteruskan.

“Sebab itu usaha perlu dibuat dengan membawa masuk ke dalam bandar lebih ramai orang Melayu, sebagai contoh apa yang berlaku di bandar Kuala Lumpur ketika ini Orang Melayu berkuasa dalam kawasan ini.

“Jadi pemindahan orang Melayu ini ke kawasan bandar maka perpisahan kaum ini tidak akan berlaku,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/01/26/duduk-semeja-bincang-isu-pilihanraya-pbt/