Dr Mahathir tiada masalah bebaskan Anwar

mahathir-anwarSHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad semalam buat pertama kali berkata beliau tiada masalah untuk menyokong usaha membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara, sambil berkata tidak ada musuh kekal dalam politik.

“Dalam dewan ini ada orang yang dulu dipenjara dan saya lepaskan, malah saya tidak simpan dalam hati. Orang yang sokong Tengku Razaleigh, saya ambil balik masuk dalam kabinet dan seorang daripadanya telah menjadi perdana menteri,” kata bekas perdana menteri yang memerintah dari 1981 hingga 2003 itu, dipercayai merujuk penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi yang satu ketika pernah bersama kelompok penyokong Tengku Razaleigh Hamzah sebelum Umno berpecah pada 1988.

“Dalam politik ini tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal,” tambahnya pada forum “Hardtalk” di Shah Alam yang turut menampilkan Datuk Husam Musa, bekas naib presiden PAS yang kini menyertai Amanah.

Anwar merupakan timbalan perdana menteri di bawah Dr Mahathir sebelum dipecat atas tuduhan salah laku seks pada 1998, mencetuskan krisis politik paling buruk yang menyaksikan demonstrasi besar-besaran reformasi di Kuala Lumpur.

mahathirKedua-dua tokoh itu kekal bermusuhan walaupun ketika kemuncak penentangan Dr Mahathir terhadap Umno di bawah Abdullah pada 2008.

September lalu, Dr Mahathir membuat kejutan apabila hadir di mahkamah untuk bersalaman dengan Anwar, pertemuan pertama mereka selepas 18 tahun menjadi musuh politik, walaupun pernah sama-sama mengetuai kerajaan pada 1990an.

Sejak Februari 2015, Anwar mula menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh, selepas disabit kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Kenyataan Dr Mahathir semalam merupakan yang paling jelas pendiriannya mengenai usaha parti pembangkang untuk membebaskan Anwar.

“Kalau rakyat nak Anwar bebas, siapa saya nak tahan rakyat?” katanya yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), anggota terbaru Pakatan Harapan yang turut menggabungkan PKR, DAP dan Amanah.

Dr Mahathir turut menyatakan sokongan terhadap usaha Pakatan Harapan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), undang-undang yang pernah digunakan di bawah pentadbirannya dulu bagi mengekang aktiviti politik di kalangan pelajar universiti.

“AUKU pada masa saya dibuat kerana ramai pelajar asyik berdemo, bila mereka berdemo mereka tidak belajar dan kita hantar mereka belajar guna duit rakyat. Kalau mereka tak belajar, mereka membazir duit rakyat. Ia merugikan.

“Saya bukan nak larang mereka berpolitik, cuma saya nak selamatkan anak kita terutama bangsa Melayu kerana mereka perlu belajar lebih tekun,” katanya, yang juga menyokong pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, atau Sosma.

“Kalau nak buang undang-undang itu dan kalau AUKU, Sosma patut dihapuskan, hapuskanlah. Tidak ada masalah kalau ia kehendak rakyat.”