Jabatan syariah tidak mahu dedah masalah kahwin bawah umur

isis-kahwinPETALING JAYA: Tidak mudah untuk masyarakat mengetahui masalah perkahwinan bawah umur memandangkan permohonan kepada jabatan kehakiman syariah tidak terjawab, kata Sisters in Islam (SIS).

Oleh kerana penghakiman tidak dibuka kepada orang awam, pegawai undang-undang pertubuhan hak asasi wanita itu, Andi Suraidah berkata susah untuk mendapatkan maklumat bagaimana hakim membuat keputusan dalam permohonan kahwin bawah umur.

“Kami sudah menulis kepada jabatan kehakiman syariah untuk mendapatkan statistik jumlah perkahwinan tetapi tidak terjawab, jadi susah untuk kami mengenalpasti masalah perkahwinan kanak-kanak,” katanya.

Ini membimbangkan kerana menurut Andi, terdapat dakwaan kanak-kanak terlibat tidak dibawa ke hadapan hakim.

“Kanak-kanak berhak didengari dan bukan testimoni ibu bapa semata-mata,” katanya.

Di bawah enakmen undang-undang keluarga Islam di peringkat negeri, usia minimum untuk wanita Islam berkahwin adalah 16 tahun. Kanun keseksaan menjadikan hubungan seksual antara lelaki dan wanita di bawah umur tersebut sebagai rogol statutori.

Sin Chew memetik Pengerusi Persatuan Kebajikan Suriana, James Nayagam berkata statistik menunjukkan lebih 9,000 perkahwinan bawah umur dicatatkan sejak 5 tahun lalu.

Datuk Ismail Yahya, bekas ketua hakim syariah Terengganu menjelaskan penghakiman bertulis kes perkahwinan bawah umur tidak diterbitkan dalam jurnal undang-undang seperti Jurnal Undang-Undang Malaya (MLJ) dan Jurnal Undang-Undang Semasa Malaysia (CLJ).

“Permohonan melibatkan kanak-kanak dan kita tidak mengeluarkannya kepada orang awam,” katanya, dan menambah beliau mendengar permohonan di dalam kamar dan bukannya mahkamah terbuka.

Menurut beliau, mahkamah akan menimbangkan beberapa perkara mengenai kebajikan kanak-kanak sebelum memberikan kebenaran berkahwin bawah umur.

“Mahkamah perlu mengambil kira sama ada bakal suami mampu membahagiakan bakal isteri dan bakal isteri akan dijaga dengan baik.

“Mahkamah juga akan memanggil pasangan terbabit menjelaskan adakah mereka sedar tanggungjawab perkahwinan,” katanya.

Ismail memberi contoh apabila beliau menyoal sepasang anak muda mengenai perkahwinan tetapi mereka kelihatan “keliru” mengenai soalan yang diaju, menyebabkan mahkamah tidak memberi kebenaran.

“Saya pernah menasihatkan seorang gadis berusia 15 tahun supaya menunggu beberapa bulan sehingga mencapai usia 16 tahun untuk berkahwin. Mengapa terburu-buru?” katanya.

Isu perkahwinan bawah umur menjadi perbualan hangat selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya pada Selasa berkata mungkin tidak salah seorang perempuan dikahwinkan dengan perogolnya.

“Seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin, dia tidak akan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap,” katanya menurut hansard perbahasan rang undang-undang Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Beliau juga berkata mungkin tiada halangan dari segi jasmani dan rohani untuk perempuan yang mencapai akil baligh daripada usia 9 tahun untuk berkahwin kerana keadaan tubuh mereka macam gadis 18 tahun.

Kenyataan itu mengundang kecaman daripada wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.

Pada Rabu, Shabudin mendakwa media melaporkan perbahasannya di luar konteks.