Kedah minta Tan Cheng Hoe kaji keputusan letak jawatan

kedahALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mahu Tan Cheng Hoe mengkaji semula keputusannya meletak jawatan sebagai jurulatih skuad Lang Merah.

Naib Presiden KFA, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata satu mesyuarat exco akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan status Cheng Hoe yang sudah menghantar surat peletakan jawatannya pada 1 April lepas.

“Mesyuarat itu akan diadakan terlebih dahulu sebelum kami mengadakan pertemuan dengan Tan Cheng Hoe.

“Secara peribadi saya ingin menasihatkannya berfikir banyak kali kerana sudah lama bersama kami dan paling penting beliau ada semangat Kedah yang kuat,” katanya selepas majlis perasmian sebuah pusat mencuci kereta hari ini.

Pada masa sama, Badrol Hisham berkata KFA sedia mendengar dan berbincang dengan Cheng Hoe mengenai sebarang perkara berbangkit jika ada untuk diselesaikan andai ia mengganggu tumpuannya.

Nama Cheng Hoe yang berjaya membawa Kedah muncul juara Piala Malaysia musim lalu disebut-sebut bakal dilantik sebagai pembantu jurulatih pasukan Harimau Malaya.

Sejak menggalas tugas sebagai jurulatih Kedah pada 2014, skuad Lang Merah itu berjaya melakar kemenangan dengan menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sultan Azlan Shah, Januari lalu.