KM Sarawak arah pertahan hak tanah orang Melayu

Abang-Johari-Abang-Openg_sarawak_tanah_600

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg, yang terkilan hak tanah milik orang Melayu di bandar raya Kuching sudah berpindah ke tangan kumpulan etnik lain, mahu keadaan itu ditangani segera.

Menurut laporan Borneo Post hari ini, beliau mahu hak tanah orang Melayu di Sarawak dikekalkan demi masa depan mereka.

“Hak tanah Melayu tidak boleh diabaikan walaupun kerajaan negeri sudah mengeluarkan geran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kepada kumpulan etnik pribumi di seluruh Sarawak,” kata beliau sambil menambah, perkara paling penting ialah kerajaan mempertahankan hak harta.

“Saya hanya mahu berlaku adil kepada semua kaum. Masyarakat Bumiputera lain seperti Iban, Bidayuh mempunyai tanah NCR mereka, masyarakat Melayu hanya mempunyai tanah di kawasan bandar dan pinggir bandar, jadi kita juga perlu mempertahankan hak-hak harta kita, terutamanya tanah di seluruh bandar ini.”

Abang Johari dilaporkan berkata demikian pada upacara meletakkan asas untuk projek Hikmah Exchange di ibu negeri Sarawak, semalam.

Menurut akhbar harian yang berpangkalan di Sarawak itu, Abang Johari berkata, projek milik Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) itu merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri mempertahankan hak harta Islam tempatan.

Projek itu akan menampilkan menara berkembar setinggi 13 tingkat yang dilengkapi pejabat dan pusat konvensyen, dan dijangka siap dalam tempoh 3 tahun.

Dibina atas tapak seluas 4.18 hektar, ia dibangunkan Permodalan Satok Bhd (PSB) dengan kerjasama beberapa pihak, termasuk Majlis Islam Sarawak dan Pelita Holdings Sdn Bhd.

Semua agensi persekutuan dijangka berpindah ke sana sebaik sahaja projek itu siap sepenuhnya.

“Hikmah Exchange akan dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu,” kata Abang Johari.

Katanya, sebuah amanah pelaburan hartanah untuk menjana lebih banyak pendapatan bagi orang Melayu akan ditubuhkan apabila YHBS mendapat keuntungan tetap hasil daripada kompleks itu.

“Ia akan menjadi bangunan digital pertama di Sarawak. Telekom Malaysia (TM) akan memasang talian optik gentian yang akan menjadikan Hikmah Exchange sebuah bangunan pintar,” katanya.

Upacara pecah tanah projek itu dilakukan tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang meninggal dunia pada Januari tahun ini.