MCA tuntut MP DAP mohon maaf, bayar RM100 juta

lim-lip-eng_mca_6001

KUALA LUMPUR: MCA menuntut Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM100 juta berhubung kenyataan beliau yang didakwa merosakkan imej parti komponen Barisan Nasional itu.

Tuntutan itu dibuat susulan dakwaan Lip Eng kononnya MCA menggunakan sendiri dana hasil sumbangan orang ramai dan kerajaan yang sepatutnya diberikan kepada sekolah-sekolah Cina.

“Saya terima surat itu beberapa hari lalu,” kata beliau pada sidang media di pusat khidmatnya di sini, hari ini.

“Mungkin MCA fikir saya jutawan atau saya mempunyai sumbangan peribadi dalam akaun saya. Tetapi tidak, saya tidak ada RM100 juta.”

MCA juga menuntut beliau menarik kenyataan yang dibuatnya di bangunan Parlimen pada 15 Mac lepas.

Dalam surat tuntutan bertarikh 29 Mac, MCA yang diwakili firma guaman Ng & Farah mendakwa kenyataan wakil rakyat itu telah menjejaskan dengan teruk reputasi parti.

“Dan, mungkin menyebabkan mereka (MCA) dipulaukan oleh ahli-ahli mereka, penyokong, rakan-rakan dalam kerajaan dan orang awam,” demikian menurut surat itu yang dilihat FMT.

Surat tuntutan itu juga menegaskan, Lip Eng memberitahu media di bangunan Parlimen pada 15 Mac lalu, yang menurut sumber beliau, MCA menggunakan dana sendiri untuk memberikan peruntukan kepada sekolah Cina, dan parti itu memasukkan wang yang diperoleh daripada sumbangan orang ramai serta kerajaan ke “saku” sendiri.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada hari sama menepis dakwaan itu dengan berkata, parti itu menggunakan dana sendiri untuk membantu sekolah-sekolah Cina dan membina Universiti Tunku Abdul Rahman.

Beliau berkata, DAP bagaimanapun tidak pernah membina walaupun sebuah tadika.

Ditanya jika beliau bercadang membawa perkara itu ke mahkamah, Lip Eng berkata, beliau sudah membalas surat tuntutan tersebut.

“Biar undang-undang tentukannya.”