Nufam puji SOP baharu elak calon jadi mangsa gangguan

malindo-air_nufam_new600

PETALING JAYA: Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) memuji keputusan Kementerian Pengangkutan mengeluarkan garis panduan baharu tepat pada masanya untuk mengelakkan wanita muda yang berhasrat menjadi pramugari atau mencari pekerjaan barisan hadapan lain sebagai mangsa gangguan.

Setiausaha Agungnya, Mohd Akram Osman berkata, Nufam sudah dimaklumkan dengan garis panduan baharu itu yang dijangka dikuatkuasakan dalam masa sebulan lagi, ekoran mesyuarat kementerian terbabit dengan syarikat penerbangan semalam, selepas bantahan berhubung laporan Malindo Air mengarahkan calon menanggalkan pakaian mereka ketika ditemu duga.

“Perlu sentiasa ada dasar ketat ketika proses temu duga anak kapal syarikat penerbangan, khasnya membabitkan pekerja wanita.

“Kami tidak mahu mendengar aduan daripada calon wanita mengenai sebarang penyalahgunaan atau gangguan ketika sesi temu duga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal minggu ini, Malindo Air dilaporkan meminta pemohon jawatan pramugari mendedahkan bahagian dada dan kaki dengan mengarahkan skirt diselak, seluar panjang dilipat atau menanggalkan sarung kaki.

Pengguna Internet mengkritik syarikat itu dan sekurang-kurangnya 3 ahli Parlimen pembangkang menggesa prosedur sedemikian dihentikan dan Malindo perlu memohon maaf kepada semua wanita di negara ini.

Malindo dalam satu kenyataan pada 5 April lalu berkata, proses itu dilakukan untuk memeriksa kesan pada badan pemohon dan ia dilakukan secara tertutup serta profesional oleh penyelia wanita.

Syarikat penerbangan itu berkata, siasatan dalaman sudah dijalankan berhubung kejadian terbabit dan menekankan ia mematuhi peraturan dalam semua proses pengambilan pekerja sejak penubuhan pada 2013.

Akram menggesa semua syarikat penerbangan lebih berhati-hati dan profesional apabila menjalankan temu duga.

“Kami juga menggesa syarikat penerbangan menjalankan pemeriksaan dandanan mereka dengan cara paling profesional dan dalam persekitaran tertutup serta selamat untuk semua calon wanita.

“Menjalankan temu bual di kawasan pedalaman dan pinggir bandar yang tidak selamat untuk pekerja wanita tidak digalakkan,” katanya yang menggesa syarikat penerbangan lebih bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan calon pada sesi temu duga terbuka dengan mengadakannya di kawasan kondusif yang mempunyai kemudahan asas.

“Kami dimaklumkan malah kemudahan seperti air minuman dan tempat duduk tidak disediakan ketika sesi temu duga walaupun masa menunggu dan beratur sangat panjang, dengan beratus calon yang bersaing untuk jawatan itu.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/06/mana-garis-panduan-kesan-parut-soal-nufam/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/07/sop-temu-duga-tiada-lagi-calon-pramugari-kena-buka-baju/